Berita Utama

AS didakwa seludup keluar minyak secara besar-besaran dari Syria

Russia kecam pelanggaran berterusan oleh negara-negara Barat

MOSCOW, 17 Syaaban 1442H, Rabu – Wakil Menteri Luar Russia mendakwa Amerika Syarikat (AS) terlibat dalam operasi menyeludup keluar minyak dan biji-bijian secara besar-besaran dari Syria, tatkala rakyat di negara yang dilanda perang itu menderita kekurangan produk asas.

Laporan mendakwa konvoi AS mengangkut minyak dan bijirin dari Syria ke Iraq setiap hari, kata Sergey Vershinin, dalam taklimat keadaan kemanusiaan di Syria kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Maklumat yang kami terima menunjukkan bahawa 300 trak tangki minyak dan lebih daripada 200 trak kargo dengan biji-bijian telah melintasi sempadan Syria-Iraq pada 23 Mac sejak awal bulan ini,” katanya dalam taklimat yang diadakan secara maya itu.

Beliau berkata, pada saat warga Syria menderita kekurangan produk asas, termasuk roti dan petrol, sebilangan besar sumber semula jadi diseludup dari Syria mengalir di wilayah Trans-Euphrates yang dikendalikan oleh AS, sementara Syria secara bersamaan terkesan oleh sekatan sepihak yang pada dasarnya adalah satu bentuk hukuman kolektif. 

Pegawai itu mengatakan keadaan kemanusiaan yang paling sukar dilihat di kawasan-kawasan yang terletak di utara Syria, yang tidak berada di bawah kawalan pemerintah Damsyik.

“Hari ini, majoriti rakyat Syria, lebih dari 90 peratus, hidup di bawah garis kemiskinan, 60 peratus kekurangan zat makanan, dan dua juta kanak-kanak tidak mendapat akses pendidikan,” tambah Vershinin.

Beliau mengatakan bahawa pengganas di zon de-eskalasi Idlib menghalang akses orang awam kepada bantuan kemanusiaan dan menghalang perjalanan mereka keluar dari wilayah itu melalui koridor khas yang didirikan untuk memudahkan mereka keluar.

Negara-negara Barat, tambah Vershinin, mempolitikkan isu bantuan kemanusiaan ke Syria dan mengerahkan sekatan terhadap negara yang dilanda krisis di tengah-tengah wabak COVID-19.

Moscow berasa kesal dan mengecam pelanggaran berterusan oleh negara-negara Barat tertentu.

Selain itu, Timbalan Menteri Luar Russia juga mengkritik wakil AS dan negara-negara Barat yang lain kerana gagal membangkitkan kesan negatif sekatan unilateral terhadap kehidupan rakyat Syria dalam ucapan mereka pada sesi Majlis Keselamatan PBB. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button