Berita Utama

COVID-19: Sabah rekod 2 lagi kluster baharu di Tawau

Babitkan kes indeks calon penjawat awam serta jurujual

KOTA KINABALU, 16 Syaaban 1442H, Rabu – Sabah merekodkan dua lagi kluster baharu COVID-19, masing-amasing membabitkan kes indeks calon penjawat awam dan jurujual alat komunikasi di Tawau, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Masidi, yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19, berkata kluster baharu itu ialah Kluster Semarak dan Kluster Ranggu dengan masing-masing merekodkan enam dan lapan kes yang membabitkan saringan kontak rapat dalam kalangan rakan serumah.

“Kluster Semarak membabitkan kes indeks seorang calon penjawat awam yang disahkan positif melalui saringan di klinik swasta sebelum mendaftar masuk ke pusat latihan di Kota Kinabalu. Saringan kontak rapat mendapati lima lagi kes positif dalam kalangan rakan serumah, namun, punca jangkitan masih dijalankan.

“Kluster Ranggu pula dikesan pada 26 Mac apabila kes indeks iaitu jurujual alat komunikasi menjalani saringan bergejala di sebuah klinik. Hasil saringan kontak rapat, tujuh lagi kes positif termasuk rakan serumah dan teman lelaki direkodkan.

“Berdasarkan penelitian kes, jangkitan dipercayai berpunca daripada keluarga kes indeks yang menghadiri kenduri arwah di Taman Semarak pada 20 Mac dan Majlis Graduasi pada 24 Mac. Pengesanan kontak rapat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Masidi berkata Sabah hari ini merekodkan sebanyak 41 kes baharu COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif wabak itu di negeri itu sebanyak 54,698 kes, manakala pesakit sembuh dibenarkan keluar hospital pula seramai 82 orang, menjadikan jumlah kumulatif 53,891 orang.

Tawau merekodkan 23 kes baharu hari ini dan merupakan antara empat daerah yang masih berada dalam zon merah selain Kota Belud, Kota Kinabalu dan Keningau, katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button