Berita UtamaDunia

COVID-19: Turki kembali laksana perintah berkurung

80 peratus warganya tinggal di wilayah berisiko tinggi

ANKARA, 17 Syaaban 1442H, Rabu – Turki mengumumkan langkah-langkah yang lebih ketat dalam pencegahan COVID-19, ekoran peningkatan jumlah bandar berisiko tinggi di seluruh negara.

Selain itu, kerajaan Turki juga merancang untuk menutup restoran pada bulan Ramadan.

Presidennya, Recep Tayyip Erdogan mengumumkan, keputusan untuk mengembalikan perintah berkurung pada hujung minggu di kebanyakan negeri Turki.

Keputusan diambil setelah jumlah jangkitan harian COVID-19 mencapai lebih daripada 30,000 kes.

“Sepanjang bulan suci Ramadan, perintah berkurung hujung minggu akan dilaksanakan dan perintah berkurung setiap hari dari jam 9 malam hingga 5 pagi akan berterusan, dengan restoran yang hanya menyediakan perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang,” katanya.

Seminggu yang lalu, Presiden Turki telah menolak untuk mengetatkan sekatan.

Katanya, walaupun jumlah jangkitan harian adalah tinggi, namun begitu bilangan mereka yang dimasukkan ke hospital adalah lebih sedikit.

Ada yang mengkritik perintah berkurung dengan menyifatkan ia sebagai tindakan ‘double-standard’ oleh kerajaan dalam menangani situasi tersebut, kerana ia menghalang pesta perkahwinan dan lawatan ke rumah sementara parti pemerintah menganjurkan persidangan untuk mempromosikan pilihan raya 2023.

Presiden Turki mengatakan bahawa 80 peratus warganegara Turki tinggal di wilayah berisiko tinggi, termasuk ibu kota Ankara dan kota terbesar di negara itu Istanbul.

Kerajaan berharap pada akhir bulan suci Ramadan, majoriti warga dan penduduk Turki akan diberi vaksin bagi membolehkan mereka menyambut kedatangan pelancong. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button