Berita Utama

Jangan dolak-dalik laksana Undi 18

Adakah dengan alasan COVID-19, terus tak boleh buat?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 17 Syaaban 1442H, Rabu – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) diingatkan tidak berdolak-dalik mengenai Undi 18, sebaliknya cuba sedaya upaya menjadikan pelaksanaan itu sebagai realiti.

Ini kerana, Undi 18 dilihat sebagai satu perkembangan baik melibatkan anak muda dalam politik negara, kata Exco Pemuda Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Asyraf Badrul.

Ketika dihubungi Ismaweb.net, beliau berkata, isu terkini yang ‘melambatkan’ Undi 18 menimbulkan banyak tanda tanya.

“Kita tak nafikan memang difahami perlu penyelarasan dari pelbagai pihak untuk menjayakan Undi 18.

“Namun adakah dengan alasan COVID-19, terus tak boleh buat?,” soalnya.

Susulan itu, beliau menggesa kerajaan menyebarkan maklumat secara tuntas, jelas dan menyeluruh mengenai kesukaran yang dihadapi dalam pelaksanaan Undi 18 ini.

“Rakyat sedang menilai. Cuba juga secara sedaya upaya untuk menjadikan ianya satu realiti. Nak seribu daya tak hendak seribu dalih.

“Tapi nampaknya kerajaan lebih gemar gunakan satu dalih sahaja untuk seribu perkara – COVID-19,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata, pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta Undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button