Berita UtamaDunia

Jepun tangguh bantuan ke Myanmar 2 bulan selepas rampas kuasa

Penangguhan babitkan bantuan baharu, bukan projek sedia ada

TOKYO, 18 Syaaban 1442H, Rabu –Jepun menangguhkan bantuan baharu ke atas Myanmar sebagai tindak balas terhadap rampasan kuasa oleh junta tentera negara itu.

Tindakan itu sekali gus mengikut jejak langkah beberapa negara yang telah melakukan sekatan sebelum ini.

Jepun adalah penyumbang bantuan utama ke Myanmar manakala Menteri Luar Negeri Toshimitsu Motegi berkata, keputusan menangguhkan bantuan itu adalah suatu mesej jelas.

“Bagi Myanmar, Jepun adalah penyedia bantuan ekonomi terbesar.

“Apa pendirian Jepun dalam hal bantuan ekonomi? Tiada bantuan baru. Kami tegas mengambil keputusan ini,” katanya dalam sidang Parlimen semalam.

Amerika Syarikat, Britain dan Kesatuan Eropah (EU) telah mengumumkan pelbagai sekatan yang menyasarkan anggota polis dan tentera yang terbabit dengan rampasan kuasa dan syarikat milik tentera.

Bagaimanapun, Jepun yang mempunyai hubungan ekonomi yang kuat dengan Myanmar dan hubungan lama dengan ketenteraannya memilih untuk tidak mengambil tindakan secara langsung.

Sementara itu, media tempatan melaporkan, penangguhan itu hanya membabitkan bantuan baharu, dan bukannya projek sedia ada.

Terdahulu, tentera Myanmar merampas kuasa dan menggulingkan pemerintah dipilih Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.

Sebagai tindak balas terhadap rampasan kuasa itu, rakyat di seluruh negara melancarkan kempen menentang tindakan berkenaan melalui demontrasi besar-besaran.

Ahli politik berusia 75 tahun itu akan menjalani perbicaraan pada Rabu di ibu negara Myanmar, Naypidaw atas tuduhan jenayah yang mengakibatkannya hilang jawatan dalam politik secara kekal.

Bagaimanapun, peguamnya Khin Maung Zaw berkata, perbicaraan itu ditangguh hingga 1 April disebabkan perkhidmatan internet dipotong oleh tentera.

Justeru, Jepun telah mengkritik rampasan kuasa itu di Myanmar serta menggesa pemulihan demokrasi.

Tokyo sebelum ini mengekalkan hubungan baik dengan Myanmar dan Suu Kyi, yang tinggal sementara di Kyoto sebagai penyelidik muda.

Selain itu, ribuan warga Jepun dan beberapa ratus syarikat dari negara matahari terbit itu terletak di Myanmar.

Malah, Jepun juga adalah pelabur asing kelima terbesar di Myanmar. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button