Berita Utama

Kerajaan diminta fokus tambah sekolah kebangsaan, henti bina vernakular

Nisbah 1:25 guru, murid gagal dilaksana, tapi masih layan desakan Jiao Zong

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 17 Syaaban 1442H, Rabu – Kerajaan sepatutnya menambah bilangan sekolah kebangsaan (SK) yang tidak mencukupi dan bukannya mewujudkan lebih banyak sekolah vernakular yang makin merosot bilangan muridnya.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Sejagat Malaysia (Amal Sejagat), Mohd Nor Izzat Johari berkata, beliau pernah menerima aduan daripada penduduk setempat berkenaan isu tersebut seperti yang berlaku di Puchong, Selangor.

“Sudah ada tiga buah sekolah vernakular dan sekarang, ada tambahan satu lagi dalam pembinaan. Sedangkan, pihak penduduk sekitar Bandar Kinrara dan Puncak Jalil adalah majoriti Melayu.

“Permintaan adalah sekolah kebangsaan, bukannya sekolah vernakular,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, Sin Chew Daily melaporkan, dalam tinjauan yang dilakukan untuk tempoh 2010-2021, Jiao Zong – pertubuhan radikal Cina – berkata, semua negeri seluruh negara merekodkan penurunan jumlah pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kecuali di Sabah dan Labuan.

Statistik bilangan pelajar di SJKC seluruh negara menurun sebanyak 15.92 peratus setakat Februari lalu, berbanding pada tahun 2010.

Katanya, penurunan kadar kelahiran dalam masyarakat Cina menjadi faktor yang menjejaskan bilangan pelajar di sekolah vernakular berkenaan.

Mohd Nor Izzat berkata, jika benar laporan menunjukkan kemerosotan murid ke sekolah vernakular, kerajaan tidak perlu lagi melayani karenah atau desakan Jiao Zong.

Sebaliknya, tegas beliau, kerajaan disyorkan untuk mempertimbangkan pengajaran Bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pilihan di SK, daripada asyik memfokuskan kepada penambahan sekolah vernakular.

“Selain daripada isu pendidikan bahasa, kerajaan seharusnya bertindak segera kepada sekolah-sekolah kebangsaan yang masih daif, tiada kemudahan asas dan kapisiti bilik darjah dalam sesebuah sekolah yang semakin padat dengan murid.

“Pelaksanaan nisbah murid dan guru 1:25 masih gagal dilaksanakan wajar diberi perhatian serius jika mahu mengangkat pendidikan negara ke taraf yang lebih tinggi. Inilah antara perkara wajib kerajaan fikirkan dan bukan memperbanyakkan sekolah vernakular,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button