Berita Utama

Puad Zarkashi dakwa Bersatu parti politik diktator

'Bersatu kuat ugut, gertak serta 'beli' Ahli Parlimen lain'

KUALA LUMPUR, 17 Syaaban 1442H, Rabu – Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak amaran Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Rosol Wahid yang menggesa UMNO tidak menggertak atau mengugut parti itu berhubung hasrat menarik sokongan Perikatan Nasional (PN).

Mohd Puad menegaskan, UMNO tidak pernah menggertak atau mengugut Bersatu untuk keluar daripada kerajaan PN.

Sebaliknya, dakwa beliau, Bersatulah yang kuat mengugut, menggertak atau ‘membeli’ Ahli Parlimen lain.

“UMNO pun tahu Bersatu adalah parti yang tidak boleh digertak dan diugut. Bersatu adalah parti diktator dalam bergabung.

“Parti yang tidak mengamalkan musyawarah dan konsensus. Kejujuran politik jauh sekali,” dakwanya dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.

Mohd Puad mendakwa, Bersatu pernah dituduh menggunakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menekan Ahli Parlimen supaya melompat parti.

“Setiausaha Agung PKR (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) dakwa Ahli Parlimen PKR melompat parti kerana ditekan oleh LHDN dan SPRM.

“Menteri Besar Pahang (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) turut mendedahkan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, terdapat usaha untuk membeli dan memujuk Ahli Parlimen Cameron Highlands supaya lompat parti.

“Justeru, tidak timbul isu UMNO meletak syarat untuk keluar daripada kerajaan PN,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menegaskan di PAU 2020 bahawa UMNO tidak akan meminta dan menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“UMNO letak noktah kepada isu tersebut. Kenapa YB Rosol masuk kluster ‘katak’? Kerana jawatan atau peruntukan? Jangan lupa YB, Hulu Terengganu kerusi UMNO. Pulangkan. Bukan gertak ya!,” katanya.

Terdahulu, Utusan Online melaporkan bahawa Rosol memberi amaran kepada pmimpin UMNO supaya tidak menggertak atau mengugut Bersatu berhubung hasrat menarik sokongan daripada PN.

Sebaliknya, UMNO dicabar berbuat demikian tanpa meletakkan apa apa syarat atau ugutan atau acah-acah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button