Berita Utama

UMNO masih bongkak meski ditolak rakyat pada PRU-14

Ahli senyap seribu bahasa walau pemimpin berdepan kes salah laku, pecah amanah

BANGI, 17 Syaaban 1442H, Rabu – UMNO masih terus diulit mimpi dalam tidur yang lena walaupun telah ditolak mentah-mentah oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), dengan kejatuhan teruk kerajaan Barisan Nasional (BN), kata pemerhati politik, Ir Ts Lukman Al Hakim Mohamad.

Beliau berkata, parti terbesar orang Melayu di Malaysia itu dengan penuh sombong dan bongkak terus mendabik dada dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru-baru ini, apabila mendakwa kononnya sokongan rakyat masih berpihak kepada mereka.

Walhal, katanya, integriti dan kepercayaan seluruh rakyat telah runtuh dengan ‘kluster mahkamah’ yang telah menjangkiti para pimpinan tertinggi parti berkenaan.

“Malangnya ahli-ahli UMNO terus senyap seribu bahasa apabila pemimpin yang berhadapan pelbagai kes salah laku dan pecah amanah ini beretorik di atas pentas utama.

“Mereka terus bertepuk tangan dan ketawa gembira. Mereka terus ditipu mentah-mentah oleh pemimpin mereka yang UMNO akan kembali ke tampuk pemerintahan negara dan merampas tampuk Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lebih teruk, kata Lukman, UMNO menggesa supaya pemimpin mereka yang sedang berkhidmat di dalam Kabinet Perikatan Nasional (PN) untuk meletakkan jawatan.

“Bagi saya, ini adalah tindakan dan kenyataan yang paling tidak masuk akal dan mengenepikan kepentingan seluruh rakyat dan negara yang masih bergelut dengan pandemik COVID-19 dan kemelesetan ekonomi yang serius.

“Apatah lagi apabila menteri-menteri daripada UMNO memegang portfolio penting dalam keselamatan dan sains teknologi yang terlibat terus dengan isu COVID-19 di negara kita,” katanya.

Senario ini jelas menunjukkan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya ingin melepaskan tengkuknya sendiri dengan menjadikan masa depan UMNO sebagai galang ganti, dakwa Lukman lagi.

“Seluruh ahli UMNO patut menolak beliau dan memulakan hidup serta perjuangan baharu di bawah kepimpinan para pimpinan muda yang jauh lebih segar.

“Kalau betul-betul ‘gentleman’ dan berani, buatlah pemilihan parti sebelum PRU15!,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button