Pendapat

Isu pekerja seks: PEMBELA gesa Dr Madeline letak jawatan di SUHAKAM

Kenyataan cabar Islam serta kedudukan Yang Dipertuan Agong

1. PERTUBUHAN-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menzahirkan rasa kecewa di atas kenyataan seorang Pesuruhjaya SUHAKAM, Dato’ Dr. Madeline Berma pada 27 Mac 2021 di dalam Facebook beliau bahawa:-
“Pekerja seks (pelacuran)” di Malaysia menghadapi diskriminasi, ancaman keselamatan, keganasan dan mereka tergolong dalam kumpulan rentan (vulnerable). Keadaan ini berlaku disebabkan industri pelacuran tidak sah daripada segi undang-undang negara, maka mereka yang bekerja dalam industri seks dikriminalisasi (criminalisation),”

2. Kenyataan ini dikatakan sebagai ringkasan terhadap apa yang beliau sampaikan semasa membentang kertas kerja di dalam satu diskusi Meja Bulat bertajuk “Mengakhiri Keganasan Terhadap Pekerja Seks”, sebuah program anjuran Pertubuhan Kesihatan dan Kebajikan Umum Malaysia.

3. Dalam kenyataan tersebut beliau juga menyenaraikan lima kesan yang dihadapi oleh pekerja seks (pelacur), akibat dari kesan diskriminalisasi.

a. Pekerjaan seks (pelacur) merupakan kesalahan jenayah (tidak sah di sisi undang-undang).
b. Mereka terdedah kepada penyakit berjangkit (HIV/AIDS).
c. Mereka sering menghadapi layanan kasar daripada pihak berkuasa.
d. Pekerjaan dan pekerja seks (pelacur) dipandang rendah, diaib, dihina, dicela.
e. Mereka sering menghadapi pencabulan terhadap Hak Asasi Manusia.

4.PEMBELA dengan ini ingin menegaskan bahawa:-

a. Tidak wujud apa yang diistilahkan sebagai “industri penjualan dan pembelian seks” di dalam negara kita.
b. Pekerja seks adalah berkenaan kegiatan persundalan (istilah undang-undang jenayah sivil) dan pelacuran (istilah undang-undang jenayah Shariah) yang jelas salah di sisi undang-undang.
c. Kanun Keseksaan memperuntukkan penjelasan yang luas tentang kegiatan persundalan:-
i. Seksyen 372: Menyalah guna mana-mana orang bagi tujuan persundalan;
ii. Seksyen 372A: Seseorang yang hidup hasil daripada atau perdagangkan persundalan;
iii. Seksyen 372B: Mencari langganan bagi maksud persundalan;
iv. Seksyen 373: Pengawalan rumah-rumah persundalan.

5. Kesalahan pelacuran ini juga terdapat di dalam Akta 559 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 di bawah Seksyen 21 Pelacuran.
“(1) Mana-mana orang perempuan yang melacurkan dirinya adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu…….”

6. Adalah tidak wajar apabila seorang pesuruhjaya sebuah suruhanjaya mengenai hak asasi manusia di bawah kerajaan membela dan memperjuangkan aktivit haram ie pelacuran atas nama hak asasi.

7. Atas perkembangan yang menggusarkan ini, PEMBELA dengan ini:-

A. Menggesa agar Dato’ Dr. Madeline Berma meletakkan jawatannya sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM kerana:-

a. Tindakan beliau ini bertentangan dengan Akta 597 (Akta SUHAKAM), Seksyen 4(4) yang menyatakan dengan jelas bahawa dalam melaksanakan tugas dan kuasanya SUHAKAM mesti mengambil kira Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia 1948 [DUHAM) setakat mana ianya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

b. Melanggar bidang kuasa SUHAKAM diperuntukan di Seksyen 2 Akta SUHAKAM berkenaan melaksanakan hak asasi manusia dan kebebasan asasi berdasarkan Bahagian II Perlembagaan Persekutuan. SUHAKAM tidak boleh bertindak atau melakukan sesuatu di luar lingkungan Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

c. Tindakan ini telah mencabar kedudukan Islam sekali gus mencabar Yang Dipertuan Agong yang telah bersumpah untuk memelihara kesucian agama Islam yang merupakan agama negara.

B. Jika beliau enggan meletakkan jawatan maka PEMBELA merafak sembah memohon YDPA melucutkan jawatan beliau selaras dengan Akta SUHAKAM 1999 Seksyen 10 (d) (ii) & (iii) yang menyatakan Ahli suruhanjaya boleh dilucutkan daripada SUHAKAM oleh Yang DiPertuan Agong sekiranya ahli tersebut:-

i. telah berbuat salah laku atau telah bertindak/berkelakuan di luar tatacara yang mencemarkan Suruhanjaya ini; atau
ii. telah bertindak bertentangan dengan Akta ini atau bercanggah dengan tugasnya sebagai ahli Suruhanjaya ini:-

C. Menuntut pihak kerajaan merombak dan menilai kembali keahlian Pesuruhjaya SUHAKAM agar tindakan dan perjalanan institusi ini selari dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan budaya negara.

D. Menggesa kerajaan menyiasat semua laporan-laporan dan kenyataan-kenyataan SUHAKAM yang melanggar bidang kuasa yang ditetapkan seperti usaha pengiktirafan komuniti LGBT, hak murtad, kritikan-kritikan terhadap undang-undang Syariah dan sebagainya.

Sekian,

AMINUDDIN YAHAYA
Pengerusi PEMBELA
1 April 2021

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button