Berita Utama

2023 tahun ‘sesuai’ adakan PRU-15

Selesaikan kes mahkamah bekas menteri dahulu, pastikan pemimpin politik isytihar harta

BANGI, 19 Syaaban 1442H, Khamis – Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hanya sesuai dilaksanakan selepas kes mahkamah yang membabitkan bekas menteri dan beberapa pemimpin tertinggi pelbagai parti politik diselesaikan terlebih dahulu.

Meskipun memakan masa bertahun-tahun, saranan itu dilihat wajar supaya rakyat dapat menilai siapa calon yang benar-benar layak untuk diberikan mandat bagi memimpin negara.

Ahli Jawatankuasa Pusat BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim turut menggesa semua menteri Kabinet, Ahli Parlimen serta semua pemimpin tertinggi parti-parti politik di Malaysia mengistiharkan harta mereka.

Bahkan katanya, pihak berkenaan perlu disiasat jika ada sesuatu yang mencurigakan atau pertentangan dengan undang-undang negara.

“Setelah tiba penggalnya, semua parti politik buat pemilihan masing-masing. Biar ahli parti memilih pemimpin berdasarkan cadangan ini secara bebas dan tidak tergesa-gesa.

“Kemudian baharulah dibuat PRU-15. Supaya kita tahu siapa yang telah diberikan mandat yang sebenar oleh parti masing-masing.

“Siapa yang benar-benar berwibawa berdasarkan rekod integriti dan kemampuan memimpin negara masing-masing,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Susulan polemik politik yang melanda negara kini, Ir Lukman Al Hakim menganggarkan tempoh sekurang-kurangnya dua tahun bagi melaksanakan cadangan solusi tersebut.

“2023 adalah tahun yang praktikal untuk melengkapkan semua cadangan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button