Berita Utama

Desak PBT siasat aktiviti pelacuran di kedai atau premis refleksologi

Tak perbaharui lesen pusat urut, negeri lain patut contohi Kedah

BANGI, 3 Zulhijjah 1444H, Khamis – Keputusan kerajaan Kedah tidak memperbaharui lesen pusat urut dan refleksologi sekiranya menjalankan kegiatan tidak bermoral wajar menjadi ikutan negeri lain.

Pastinya, tindakan berani Kedah itu dapat membendung aktivti-aktiviti tidak bermoral dalam masyarakat terutama dalam kalangan anak muda.

Ketua Penerangan Perkasa Kedah, Azrol Mansor berkata, kebanyakan pusat urut ini lebih membawa kemudaratan terutama ke arah aktiviti dan kegiatan yang mampu meruntuhkan moral dan akhlak generasi muda.

“Selain itu, ia juga boleh menjadi penyebab kepada keruntuhan akhlak, amalan seks bebas, penularan gejala sosial secara meluas serta kemusnahan pada keharmonian institusi kekeluargaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Perkasa juga mendesak agar pihak pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan siasatan terhadap mana-mana premis yang menjalankan aktiviti pelacuran di kedai atau premis refleksologi, sama ada mereka mempunyai lesen atau tidak.

“Semoga kerajaan negeri Kedah dapat menjadi ikon, ikutan dan contoh kepada negeri-negeri lain dalam usaha untuk membentuk keperibadian yang bersih dan mulia di kalangan rakyatnya,” katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Exco terakhir kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk menilai semula kelulusan lesen premis pusat urut dan refleksologi kerana ada yang menjalankan kegiatan tidak bermoral.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, beliau menerima taklimat mengenai perkara itu daripada Exco dan pihak berkuasa susulan laporan menyatakan berlaku kegiatan ‘lain’ di premis terbabit.

Susulan itu katanya, satu operasi bersepadu dilakukan polis, imigresen, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK), Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dan Pejabat Daerah Kota Setar bersama Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri pada 17 Jun lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button