Berita Utama

Kalimah Allah: 136 memorandum diserah tuntut campur tangan Agong

Bimbang kebenaran mahkamah disalah guna untuk agenda pluralisme

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 19 Syaaban 1442H, Khamis – Sebanyak 136 memorandum diserahkan kepada Istana Negara, bagi memohon perkenan campur tangan Yang di-Pertuan Agong berhubung keputusan mahkamah dalam isu kalimah Allah.

Memorandum yang diserahkan sekitar jam 3.00 petang semalam adalah mewakili 136 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Nobat Malaysia.

Antara NGO lain yang terbabit adalah Pertubuhan Silat Seni Cula Simanjakini, Pertubuhan Kebajikan Gerakan Melayu Pendekar Islam Tanahair, Persatuan Perikatan Anak Melayu Semenanjung Malaysia dan Persatuan Transformasi Ekonomi Muslim.

Yang Dipertua Pertubuhan Nobat Malaysia, Mohd Faizul Salehudin berkata, hanya tiga orang sahaja wakil yang dibenarkan menyerahkan semua memorandum kepada pihak Istana Negara, atas faktor prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, meskipun lebih 100 memorandum diserahkan serentak, namun objektifnya sama iaitu mahu kalimah Allah dipelihara dan dikhususkan untuk orang Islam sahaja.

Memorandum itu menyatakan kebimbangan kebenaran mahkamah terhadap kalimah Allah akan disalah guna dan dicemari pihak tidak bertanggungjawab, khususnya dalam agenda pluralisme atau dijadikan ‘tatu’ di badan.

“Sesungguhnya patik faham, keputusan mahkamah tidak boleh dicabar tetapi dalam masa darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan, memberi kuasa penuh Tuanku Yang di-Pertuan Agong membuat satu keputusan muktamad dan konklusif serta tidak boleh dicabar atau dipersoal di mana-mana mahkamah.

“Patik mencadangkan dan memohon Tuanku memasyhurkan undang-undang atau ordinan demi memperkasakan undang-undang mempertahankan kalimah Allah dari digunakan oleh orang Kristian dalam buku, cetakan atau media sosial,” katanya seperti terkandung dalam memorandum.

Mohd Faizul bimbang jika isu itu tidak ditangani segera, ia memberi kesan kepada ketenteraman awam dan menimbulkan kebencian antara agama.

“Allah Maha Esa tidak beranak dan diperanakkan, sedangkan di dalam terjemahan Bible bahasa Melayu, Allah sebagai Tuhan Bapa dan mempunyai anak iaitu jesus adalah sangat bertentangan dengan akidah Islam.

“Demi menjaga akidah umat Islam dari terpesong di masa akan datang, diharapkan Tuanku Yang di-Pertuan Agong yang memegang tampuk selaku Ketua Agama Islam dengan segera mencantas gerakan dan terus menutup ruang agenda yang tersusun serta teratur gerakannya,” katanya.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut mendapat kebenaran untuk digunakan.

Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan melalui notis rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button