Berita Utama

My #HadithTime bagi pencerahan berkait salam faham hadis

Jenayah paling besar adalah sebar hadis palsu dalam masyarakat

SHAH ALAM, 19 Syaaban 1442H, Khamis – Program My #HadithTime diharap mampu menjadi platform untuk memberikan pencerahan kepada masyarakat dalam mengatasi kekeliruan dan salah faham mengenai hadis di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata antara jenayah yang paling besar dalam kehidupan umat Islam adalah berlakunya penyebaran hadis palsu atau yang terlalu lemah dalam kalangan masyarakat.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk memelihara kesucian hadis dan tidak menyebarkan hadis-hadis palsu kecuali untuk dinyatakan tentang kedudukan hadis-hadis tersebut,” katanya pada Majlis Perasmian Program My #HadithTime di sini hari ini.

Beliau berkata usaha mewujudkan program tersebut adalah suatu usaha yang besar impaknya kepada kehidupan umat Islam dalam memartabatkan hadis sebagai sumber kedua perundangan dalam Islam selepas al-Quran.

My #HadithTime adalah program yang dijayakan bersama Yayasan Warisan Ummah dan TV Al-Hijrah, mula bersiaran secara rasmi di TV Al-Hijrah hari ini. Program itu akan ditayang pada setiap Isnin hingga Jumaat jam 5 petang.

“Saya percaya My #HadithTime boleh menjadi program yang bakal mendidik masyarakat tentang cara yang benar mengamalkan al-Quran sebagaimana yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW dalam mengamalkan al-Quran,” katanya.

Dalam isu berasingan, Ahmad Marzuk berkata mengenai usahawan kosmetik kontroversi Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat yang didakwa telah murtad, beliau berkata itu tidak menjadi alasan untuk beliau tidak dikenakan tindakan undang-undang.

“Sebarang tindakan yang dikatakan keluar daripada agama (Islam) untuk elak hukuman undang-undang syariah, itupun sebahagian daripada kesalahan jenayah syariah di Selangor,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button