Berita Utama

PAU tidak putuskan pemimpin letak jawatan dalam kerajaan

Hanya sokong usul kekal dalam PN sehingga Parlimen bubar

KUALA LUMPUR, 19 Syaaban 1442H, Khamis – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan Perhimpunan Agung UMNO 2020 tidak membuat ketetapan agar semua pemimpin parti yang memegang jawatan dalam kerajaan seperti menteri dan menteri besar melepaskan jawatan mereka.

Sebaliknya kata beliau perhimpunan itu hanya menyokong usul Majlis Tertinggi (MT) parti untuk kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

“Itu usul yang diterima dalam perhimpunan agung, usul kedua ialah kami terus menyokong kerajaan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bila Parlimen dibubar, kami tidak lagi bekerjasama,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Ismail Sabri yang juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta Pingat Perkhidmatan dan Pekerti Terbilang warga Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata semua menteri daripada UMNO akan terus kekal dalam kabinet kerajaan PN dan kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan beliau dengan menteri-menteri daripada UMNO pada Isnin, bagi meminta nasihat berhubung kedudukan mereka dalam kabinet.

Pada Ahad lepas, Perhimpunan Agung UMNO 2020 meluluskan usul untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 dan kebersamaan dalam kerajaan PN hanya diteruskan sehingga Parlimen dibubarkan.

Mengenai masa depan kerjasama politik UMNO-PAS di bawah Muafakat Nasional susulan keputusan PAS untuk bersama Bersatu bagi menghadapi PRU15, Ismail Sabri berkata buat masa ini kerjasama itu berjalan seperti biasa.

Malah katanya Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini juga bersetuju agar kerjasama di bawah Muafakat Nasional itu diperkukuhkan.

Terdahulu, Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan menyampaikan sijil anugerah kepada 396 warga Kementerian Pertahanan dan ATM yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button