Berita Utama

SOP ibadah di masjid, surau sepanjang Ramadan diumum dalam masa terdekat

SOP diselaras oleh JAWI, negeri lain ditentukan Majlis Agama Islam

KUALA LUMPUR, 19 Syaaban 1442H, Khamis – Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua aktiviti ibadah di masjid serta surau sepanjang Ramadan termasuk solat Tarawih, akan diperinci dan diumumkan dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata bagi Wilayah Persekutuan, SOP akan diselaraskan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) manakala negeri lain ditentukan oleh Majlis Agama Islam negeri masing-masing.

“Saya melihat perkara ini (ibadah bulan Ramadan) hampir sama dengan solat-solat yang lain kecualilah mungkin ada sedikit perubahan kecil yang akan dilihat dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Akaun Emas YaPEIM (Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia) atau Akaun SERY, di sini hari ini.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan kebenaran untuk mengadakan solat Tarawih di masjid sepanjang bulan Ramadan yang akan bermula 13 April ini.

Mengenai majlis itu, Zulkifli berkata produk simpanan emas berkenaan dilihat akan membawa YaPEIM setapak lagi ke hadapan dalam membantu merancakkan ekonomi khususnya dalam tempoh negara sedang pulih daripada impak COVID-19.

Beliau berharap dengan produk baharu itu, YaPIEM mampu bersaing dan berdiri setaraf dengan pemain industri emas yang lain.

Akaun SERY adalah produk simpanan emas yang membolehkan emas dibeli secara digital dan ditukar kepada emas fizikal dengan caj berpatutan selain patuh syariah. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button