UMNO bakal hilang banyak kerusi jika bergerak sendirian: PAS
PAS percaya hanya segelintir sahaja pucuk pimpinan tolak PN

PASIR MAS, 19 Syaaban 1442H, Khamis – UMNO akan kehilangan banyak kerusi dalam pilihan raya umum akan datang sekiranya bergerak secara sendiri.
Memiliki ahli kira-kira tiga juta orang termasuk lebih 21,000 cawangan di seluruh negara tidak mampu untuk menyelamatkan UMNO kali ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, berpandukan kepada situasi politik semasa ketika ini, tiada satu parti pun yang akan berjaya membentuk kerajaan tanpa menjalinkan kerjasama dengan rakan sekutu lain.
“Ini pandangan peribadi saya. Sebab itulah PAS mahu membentuk gabungan bersama parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO pada PRU15 nanti.
“Bersatu tidak boleh menang jika tiada gabungan, begitu juga dengan UMNO.
“Jadi kita mahu kedua-dua parti itu mencari titik persamaan untuk menyelesaikan perbezaan pendapat termasuklah Pas,” kata seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas situasi terkini politik semasa tanah air selepas UMNO berkeras memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Mohd Amar berkata, walaupun Persidangan Agung UMNO (PAU) 2020 membuat ketetapan untuk UMNO bergerak secara sendirian, namun masih ramai akar umbi mahu melihat parti terbesar Melayu itu terus bersama Perikatan Nasional (PN).
Beliau percaya, hanya segelintir sahaja pucuk pimpinan yang menolak kerjasama tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu juga berharap agar akar umbi UMNO dapat mengubah suasana itu demi kepentingan Islam dan bangsa Melayu.