Berita Utama

Undi 18: Beri peluang anak muda tempat diri dalam arena politik

Satu keperluan ubah gaya politik lama melalui pelaksanaan Undi 18

BANGI, 19 Syaaban 1442H, Khamis – Generasi muda harus diberikan ruang menempatkan diri dalam politik bagi menunjukkan kemampuan mengurus hal ehwal berkaitan rakyat dan negara, kata Dr Illyas Abdullah.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Tekonologi MARA (UiTM) Kampus Raub itu berkata, namun, terdapat kebimbangan dan kritikan dalam konteks pelaksanaan Undi 18.

Antara kebimbangan itu katanya, termasuk generasi muda yang dikatakan belum cukup matang dan bersedia untuk berhadapan gaya politik diprogramkan elit politik generasi lama.

Katanya, penguasaan sebahagian besar elit politik veteran dalam arena politik juga dibimbangi mampu mengubah sikap dan aspirasi anak muda hingga menghasilkan peniruan praktik politik lama.

“Generasi muda terjebak dalam praktik politik lama tidak akan mampu membantu proses penyuburan demokrasi, melainkan sekadar menjadi pemimpin yang mencari peluang mendapatkan kuasa politik untuk diri tanpa mempedulikan tanggungjawab kepada masyarakat,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Terdahulu, pendaftaran pemilih automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun dijangka hanya mampu dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh, dilaporkan berkata pihaknya harus bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19.

Secara tidak langsung, katanya, situasi sedemikian menjejaskan perancangan dan persiapan SPR menjayakan pendaftaran pemilih automatik serta undi 18, yang sebelum ini sepatutnya dijangka dilaksanakan Julai depan.

“Justeru, pendaftaran pemilih automatik dan undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 apabila menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang menjejaskan perancangan serta persiapan awal SPR,” katanya.

Mengulas mengenai perkara itu, Dr Illyas berkata, generasi muda harus membuktikan bahawa mereka mampu mempromosikan wadah baharu politik lebih segar melalui pelaksanaan Undi 18.

Dr Ilyas berkata, hal itu adalah satu keperluan bagi mengubah gaya politik lama.

Beliau berkata, perkara terbabit dapat dilaksanakan menerusi cara menggabungkan kekuatan intelektual dan kecerdasan perjuangan, dengan tidak mengambil sikap terlalu taksub kepada ideologi kepartian hingga menidakkan kebenaran dan keadilan.

Katanya, Undi 18 juga berpotensi menjadikan generasi muda sebagai ‘tulang belakang’ bagi menjayakan agenda penyuburan demokrasi.

Justeru, katanya, golongan itu wajar membuktikan mereka mampu berperanan sebagai aktor utama dalam proses menentukan agenda negara.

“Golongan itu harus berada dalam lingkaran kuasa dengan menjadi sebahagian daripada pihak terbabit dalam proses mempengaruhi dasar awam, di samping meneruskan semangat dan dasar perjuangan melalui cabang legislatif secara intelektual dan matang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button