Berita Utama

Undi pemimpin berintegriti

Mereka yang gagal dalam integriti akan tenggelam dalam cabaran

BANGI, 19 Syaaban 1442H, Khamis – Rakyat memberi kepercayaan kepada pemimpin bukan kerana takut akan kezaliman atau menerima sogokan, sebaliknya atas dasar integriti.

Dalam konteks ini, pemimpin berintegriti disegani dan hebat jati dirinya kerana bertakwa kepada Allah SWT dengan beriman dan budiman yang disebutkan dengan (‘adalah) mengikut istilah politik Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hal yang tersebut kerana ilmu dan sokongan rakyat boleh dibeli, dibuli, ditipu dengan slogan dan manifesto serta janji bohong.

Tegasnya, rakyat yang mengundi dan memilih pemimpin juga mestilah berintegriti, bukan semata-mata berdasarkan faktor umur, malah juga berasaskan kematangan akal dan ilmunya.

“Integriti tidak boleh dibentuk dengan ujian untuk menyerahkan sijil atau ijazah yang bertulis di atas kertas sahaja. Ujiannya perlu melalui proses perjuangan yang mencabar.

“Mereka yang gagal dalam ujian tersebut, akan tersingkir dalam perjalanannya, ” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, integriti adalah petunjuk kurniaan Allah SWT yang dikurniakan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Ia merupakan cahaya Allah SWT yang tidak padam, walaupun manusia dilanda dengan pelbagai krisis dan perpecahan, kerana ia lahir dengan petunjuk daripada-Nya.

“Kukuhnya integriti itu laksana teras yang tidak akan musnah dan cahaya yang tidak akan padam, sekalipun dilanda dengan segala ribut taufan dan gelombang lautan yang besar, hatta gempa bumi yang paling kuat.

“Mereka yang gagal dalam integriti, akan tenggelam dalam cabaran yang mengepung kehidupannya dan dalam partinya sendiri serta berlaku krisis nilai diri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button