Berita UtamaDunia

Buku teks UK memihak kepada rejim penjajah Israel

Ahli akademik suarakan kebimbangan, fakta sejarah diputar belit

BRITAIN, 19 Syaaban 1442H, Jumaat – Sekumpulan ahli akademik membuat aduan bahawa penerbit pendidikan Britain, Pearson telah mengubah kandungan dua buku teks sekolah yang memihak kepada rejim penjajah Israel.

Kesannya, tindakan itu gagal memberikan pandangan yang seimbang kepada murid mengenai konflik Israel-Palestin.

Menerusi sebuah laporan, penerbit yang berpangkalan di London itu didakwa membuat ratusan perubahan pada dua buku teks General Certificate of Secondary Education (GCSE) yang digunakan oleh sekolah menengah di United Kingdom (UK). 

Penerbit berkenaan didakwa memutar belit catatan sejarah yang berkaitan dengan konflik antara penjajah Israel dan Palestin di wilayah yang diduduki.

Buku-buku berjudul Conflict in the Middle East and The Middle East: Conflict, Crisis and Change, kedua-duanya oleh pengarang Hilary Brash, dibaca oleh ribuan pelajar GCSE dan International GCSE (IGCSE) setiap tahun.

Laporan yang ditulis oleh Profesor John Chalcraft dan James Dickins, pakar Timur Tengah dan anggota Jawatankuasa British untuk Universiti Palestin (BRICUP), menemui ratusan perubahan pada buku teks, dengan rata-rata tiga perubahan setiap halaman. 

Ia juga merangkumi perubahan teks, garis masa, peta dan gambar, serta contoh karangan dan soalan pelajar.

Menyoroti beberapa perubahan pada buku-buku berkenaan, laporan itu mengatakan perubahan telah dilakukan selepas adanya campur tangan oleh Lembaga Wakil Yahudi Britain yang bekerjasama dengan Peguam UK untuk Israel (UKLFI).

Laporan lapan halaman itu mendedahkan, banyak rujukan mengenai keganasan atau pencerobohan Yahudi dan Israel telah dihapus atau ‘dilembutkan’ oleh Pearson. 

Sebaliknya, rujukan keganasan Arab dan Palestin telah ditambah atau direka secara sistematik.

Memetik contoh, laporan itu menyebut mengenai pembunuhan Deir Yassin, di mana pasukan Israel membunuh sekurang-kurangnya 107 orang awam Palestin, dalam versi asal buku teks IGCSE digambarkan sebagai ‘salah satu kekejaman terburuk perang [1948]’. 

Bagaimanapun, Pearson menggantikan perkataan ‘kekejaman’ dengan ‘tindakan’ dalam edisi yang disemak semula.

Dalam contoh lain, versi asalnya mengatakan, ‘Undang-undang antarabangsa menyatakan bahawa suatu negara tidak dapat mengilhak atau menduduki wilayah yang diperoleh secara paksa’. 

Manakala versi yang disemak semula menggantikannya dengan “Beberapa berpendapat bahawa undang-undang antarabangsa menyatakan bahawa suatu negara tidak dapat mengilhak atau menduduki wilayah yang diperoleh secara tidak tentu dengan paksaan.”

Salah seorang penulis laporan, Profesor Chalcraft, menyifatkan perubahan yang dibuat Pearson terhadap buku-bukunya sebagai luar biasa.

Luar biasa, perubahan yang dibuat pada teks-teks ini menambah atau mengganti pernyataan, maklumat dan tafsiran yang mendukung naratif Israel, dan menghapus atau mengganti yang menyokong naratif Palestin.

Chalcraft menekankan bahawa ‘kesan keseluruhan perkara ini akan menjadikan buku-buku ini menyesatkan.’

Lebih-lebih lagi, eksekutif Kesatuan Pendidikan Nasional (NEU) – kesatuan pengajaran utama Inggeris – menyatakan keprihatinan mengenai penemuan yang digariskan dalam laporan itu dan juga proses editorial yang membawa kepada perubahan.

NEU mengatakan akan menghubungi Pearson untuk mendapatkan penjelasan.

Israel ‘wujud’ secara haram pada tahun 1948 setelah tentera yang disokong oleh Barat merampas wilayah-wilayah Arab yang luas.

Pada tahun 1967, ia menguasai seluruh Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, setelah operasi ketenteraan. 

Israel kemudiannya mengilhak wilayah tersebut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button