Dunia

Parlimen ‘diguling’ cuba bentuk kerajaan perpaduan di Myanmar

Setakat ini seramai 536 orang dibunuh oleh pasukan keselamatan

YANGON, 20 Syaaban 1442H, Jumaat – Parlimen Myanmar yang digulingkan oleh tentera berhasrat untuk menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan pada minggu pertama bulan April.

Kerajaan baharu itu terdiri daripada kesemua parti berteraskan demokrasi di bawah terma Piagam Demokrasi Persekutuan dan kepemimpinan kolektif.

Buat sementara waktu, Timbalan Presiden Interim, Mahn Win Khaing Than dan beberapa menteri akan terus menjalankan tanggungjawab sehingga terbentuknya kerajaan baharu tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan pada ketika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berbincang dan menyatakan kebimbangan mereka terhadap situasi semasa yang menyaksikan sekurang-kurangnya 536 dibunuh oleh pasukan keselamatan.

Wakil Khas PBB ke Myanmar, Christine Schraner Burgener berkata, tindakan tegas secara bersama dari masyarakat dunia sangat diperlukan di Myanmar yang kini berdepan masalah ‘negara gagal’.

“Tekanan sebelah pihak dan tindakan daripada pasukan keselamatan hanya akan meningkatkan konfrontasi serta menyukarkan lagi keadaan,” kata Duta China ke PBB, Zhang Jun.

Pertempuran di antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan semakin buruk sejak beberapa minggu lalu, dengan tentera turut melancarkan serangan udara ke atas kumpulan pemberontak sehingga mencetuskan kebimbangan berlakunya peperangan.

Junta kelmarin menegaskan, gencatan senjata selama sebulan tidak terpakai kepada mereka yang cuba melakukan kekacauan, mengancam keselamatan awam dan operasi pentadbiran. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button