Berita Utama

Iklan produk patut sealiran dengan nilai budaya tempatan

‘Kenapa nak liberal sangat sedangkan negara Barat pun ada sekatan’

BANGI, 16 Safar 1443H, Khamis – Kontroversi berkaitan kempen terbaharu sebuah produk tuala wanita yang didakwa menggunakan gambar bunga berbentuk vulva atau kemaluan wanita, bukanlah tertumpu kepada pemilihan pembungkusannya sahaja tetapi iklan promosinya yang berbentuk video.

Pengerusi Perikatan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (MACSA), Lukman Sheriff Alias berkata, jelas di dalam video itu menayangkan animasi kemaluan wanita yang amat tidak bersesuaian.

“Saya tak suka komen bab wanita. Tapi saya kena tulis nak tunjukkan macam mana satu isu ‘has gone mad’. 

“Bagaimana nilai kita walaupun antara muslim sangat berbeza. Isu ini timbul sebab video dengan jelas tunjukkan kemaluan wanita. Bukan tunjuk tetapi menonjolkannya. Tak boleh sangkal. 

“Jadi ramai wanita (dan mungkin juga lelaki) merasakan ini ‘inappropriate’ atau tidak patut dan membantah,” katanya dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.

Beliau menegaskan, menggunakan atau melazimkan penggunaan gambar atau bahkan ilustrasi kemaluan kepada khalayak ramai bagi tujuan promosi produk memang sepatutnya boleh dibantah di mana-mana negara termasuk juga negara Barat. 

“Sebab itu tiada iklan di media utama menunjukkan gambar atau ‘depiction’ kemaluan. Memang fair comment untuk membantah. 

“Misalnya katalah ada promosi awam produk lelaki katalah kondom menunjukkan kemaluan lelaki, takkanlah tak boleh bantah? 

“Malah saya yakin ramai akan membantah. Tak masuk akal tak boleh bantah. Memang reasonable untuk membantah,” katanya. 

Iklan sebegitu juga, katanya, berkemungkinan dilihat sebagai satu jenis gangguan seksual hingga membabitkan proses pendakwaan.

Sementara itu, menyentuh mengenai ‘perbahasan’ di media sosial terutama Twitter yang menyaksikan sebahagian daripada pengguna berasa tidak terganggu atau tidak bermasalah dengan kempen tersebut, beliau berkata, ramai yang belum melihat video promosi produk tuala wanita tersebut dan hanya memberi pandangan berdasarkan pembungkusannya.

“Dari Twitter yang dikeluarkan, ramai juga saya lihat mengatakan gambar dan brand itu ok aje. Tiada masalah. Ada kata orang pemikiran kotor sahaja akan nampak kemaluan. 

“Orang complain pasal video dia complain pasal gambar dan brand. Video tu tanpa segan silu depict kemaluan. Jadi saya tanya dah tengok video tak. Ramai tak jawab.

“Ada segelintir yang jawab. Seorang bagi link video. Orang komplen video lain dia tunjuk video lain. Video yang kena tarik tu bukan video tu Cik Oi!,” katanya.

Pada masa sama, Lukman turut membidas pihak yang tetap mempertahankan iklan itu dengan alasan ia bertujuan pendidikan.

Beliau menegaskan, sepatutnya nilai masyarakat terletak dalam perkataan ‘kemaluan’.

“Jelas nilai ini. Kalau tak tahu malu sehingga papar atas baju atau buat hiasan kek bentuk kemaluan, lebih baik kita ubah sahaja perkataan ‘kemaluan’. Pelik bin ajaib. 

“Dan satu lagi kumpulan yang mempertahankan hak mempamerkan kemaluan untuk pengiklanan produk, walaupun muslim, should take a step back.

“Kenapa nak liberal sangat sedangkan negara barat pun ada sekatan. Kita pegang kepada budaya nilai kita. Untuk iklan produk, mereka mesti sealiran dengan nilai budaya tempatan,” tegasnya.

Terdahulu, Libresse Malaysia didesak untuk menarik balik dua kempen ‘V-Kebaya’ dan ‘Know Your V’.

Melalui kempen ‘V-Kebaya’, jenama tersebut melancarkan pembalut tuala wanita edisi terhad dengan kemasan yang dihiasi dengan motif bunga dari ilham kebaya Nyonya dan vulva.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button