Berita Utama

Undi18: 18 anak muda fail semakan kehakiman terhadap kerajaan

Tuntut mahkamah isytihar penangguhan pelaksanaan Undi 18 tidak sah

KUALA LUMPUR, 19 Syaaban 1442H, Jumaat –  Seramai 18 anak muda memfailkan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya SPR) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Mereka yang mewakili gerakan Undi18 menuntut pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai 2021.

Selain itu, mereka menuntut mahkamah supaya mendeklarasikan tindakan kerajaan menangguh pelaksanaan penurunan umur pengundi daripada 21 ke 18 sebagai tidak rasional, tidak sah, tidak berpatutan serta mencabul hak pengundi.

“Para pemohon menuntut deklarasi daripada mahkamah bahawa penangguhan oleh kerajaan dalam pelaksanaan RUU Undi18 adalah tidak rasional, melanggar proses dan semangat undang-undang serta mencabul hak pengundi.

“Selain itu, para pemohon juga merayu kepada mahkamah untuk mengarahkan kerajaan melaksanakan Seksyen 3(a) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 pada atau sebelum Julai 2021,” kata aktivis, Nurul Rifayah semasa sidang media gerakan Undi18, hari ini.

Dalam pada itu, Nurul seperti dilapor Astro Awani memaklumkan bahawa Undi18 akan melancarkan kempen mengutip dana bagi membiayai tindakan undang-undang berkenaan.

Pada November tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021.

Katanya, SPR menjangkakan semua persiapan yang sedang diambil tindakan akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai, tahun lalu.

Bagaimanapun, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh baru-baru ini dilaporkan berkata bahawa pihaknya menjangkakan pendaftaran pemilih automatik dan Undi18 hanya boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022.

Beliau mendakwa, tempoh tersebut dibuat selepas menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan perancangan dan persiapan awal SPR termasuk penularan wabak COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button