Berita Utama

Kerja alih kren gantri di lokasi insiden SUKE rumit: Prolintas

Proses pengalihan dijangka ambil masa selama seminggu

KUALA LUMPUR, 21 Syaaban 1442H, Sabtu – Kerja-kerja pengalihan kren gantri di tapak pembinaan Projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Persiaran Alam Damai, Cheras di sini melalui proses yang rumit.

Pihak Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan proses pengalihan itu akan mengambil masa selama seminggu susulan kren gantri terlibat akan dipotong kepada beberapa bahagian sebelum dibawa turun.

“Enam unit kren akan digunakan untuk kerja-kerja pengalihan tersebut selepas mendapat kelulusan daripada jurutera perunding seliaan dan pihak berwajib.

SUKE bersama kontraktor terlibat iaitu Syarikat Muhibbah Perniagaan dan Pembinaan Sdn Bhd (SMPP) telahpun memulakan kerja pengalihan kren gantri tersebut,” menurut kenyataan itu.

Katanya, kerja pengalihan kren gantri itu dijalankan selepas kerja-kerja fasa pertama iaitu penstabilan struktur rasuk dan kren gantri selesai dilaksanakan dan ia turut mengambil kira tahap keselamatan penduduk sekitar serta pekerja pembinaan.

Ahad lepas, SUKE memaklumkan fasa pertama kerja pengalihan struktur kren gantri dan pembaikan bermula 27 Mac lalu selepas pihaknya menerima kelulusan daripada JKKP.

Dalam kejadian pada 22 Mac itu, tiga pekerja warga China maut manakala seorang pemandu cedera parah susulan satu daripada komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan terbabit. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button