Berita UtamaDunia

Pegawai polis Capitol AS maut dalam serangan rempuhan kereta

Suspek ditembak selepas keluar dari kenderaan dengan memegang pisau

WASHINGTON, 21 Syaaban 1442H, Sabtu – Seorang pegawai Polis Capitol Amerika Syarikat (AS) mati setelah diserang oleh seorang lelaki yang merempuh kenderaannya ke penghadang keselamatan di luar bangunan Capitol pada hari Jumaat.

Pemandu kereta itu ditembak polis dan meninggal dunia setelah dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.  

Seorang pegawai lain juga turut dimasukkan ke hospital dengan kecederaan yang tidak didedahkan.

“Suspek merempuh keretanya ke arah dua pegawai kami, dan kemudian merempuh penghadang keselamatan. Pada masa itu suspek keluar dari kenderaan dengan pisau di tangan. Suspek kemudian ditembak oleh pegawai kami,” kata Pemangku Ketua Polis Capitol, Yogananda Pittman.  

Beliau berkata, pegawai yang terbunuh, William ‘Billy’ Evans, adalah seorang veteran 18 tahun Polis Capitol.

Sementara itu, Ketua Polis Washington Metropolitan, Robert Contee memaklumkan, siasatan awal mendapati serangan itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan keganasan.

“Polis bagaimanapun akan meneruskan siasatan berhubung kejadian ini,” katanya. – 

Bagaimanapun, media tempatan melaporkan penyerang terbabit dikenali sebagai Noah Green, 25, seorang lelaki berkulit hitam berasal dari Indiana dan penyokong Nation of Islam. 

Serangan ini berlaku kira-kira tiga bulan selepas bangunan Capitol diserang ratusan perusuh, dua minggu sebelum Joe Biden dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Presiden AS yang baharu. Dalam kejadian itu, empat orang terkorban. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button