Perjanjian normalisasi dengan Arab Saudi untungkan Israel, dakwa menteri
Normalisasi hanya berlaku jika wilayah Palestin diserah kembali

RIYADH, 21 Syaaban 1442H, Sabtu – Perjanjian normalisasi antara Arab Saudi dan negara haram Israel akan menguntungkan wilayah itu, demikian dakwa Menteri Luar Negeri Arab Saudi, Faisal bin Farhan Al Saud.
Dalam wawancara dengan CNN, beliau berkata, normalisasi status Israel di rantau ini akan membawa manfaat besar bagi wilayah itu secara keseluruhan.
“Ini akan sangat membantu dari segi ekonomi, sosial dan dari sudut keamanan,” katanya, sambil menambahkan bahawa situasi itu hanya mungkin berlaku jika negara Palestin diserahkan kembali.
Arab Saudi sebelumnya telah membuat kenyataan serupa, mengatakan ia hanya akan menormalkan hubungan dengan Israel jika negara berdaulat rakyat Palestin diwujudkan.
“Apa yang perlu kita buat adalah kesepakatan damai yang memberikan martabat negara Palestin dan dengan kedaulatan yang dapat diterima oleh rakyat Palestin,” kata Putera Faisal pada bulan Disember tahun lalu.
Pada ketika itu, beliau berkata, normalisasi hubungan dengan Israel telah lama menjadi antara visi Arab Saudi.
Malah, katanya, kerajaan membayangkan adanya langkah sebagai pertukaran untuk pembentukan sebuah negara Palestin dalam batas wilayah 1967.
Penyelesaian dua negara untuk konflik Palestin-Israel mencerminkan Inisiatif Damai Arab, yang dicadangkan oleh Arab Saudi pada tahun 2002.
Inisiatif itu mencadangkan agar hubungan normal antara Israel dan negara-negara Arab lain berlaku, dan sebagai pertukaran Israel menarik diri sepenuhnya dari tanah-tanah yang didudukinya dalam perang 1967, termasuk wilayah-wilayah yang dijajah seperti Dataran Tinggi Golan, Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat.
Inisiatif ini disokong semula selama bertahun-tahun oleh Liga Arab tetapi tidak pernah dilaksanakan, kerana Israel meneruskan pengembangan dan penempatannya di Tebing Barat. – Agensi