Berita Utama

Ramai doa parti Melayu bersatu, tak kurang juga harap kehancuran

Tak mungkin kerajaan ditubuh, urus bersama cuba diruntuhkan: PAS

BANGI, 21 Syaaban 1442H, Sabtu – Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan semata-mata untuk memperkasakan umat Islam yang menjadi majoriti rakyat Malaysia, sekali gus memberi jaminan keselamatan dan kebajikan untuk kumpulan minoriti. 

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, agenda MN menolak sebarang muafakat atau kerjasama dengan mana-mana golongan yang menolak Islam atau tidak mesra Islam seperti mana telah ditunjukkan oleh DAP dan PKR ketika mentadbir negara bersama Pakatan Harapan (PH).

“Justeru, slogan ‘No DAP, No PKR’ sentiasa dilaungkan dan dijadikan asas persefahaman. Malah, PAS keluar daripada Pakatan Rakyat pada 2015 juga atas asas menolak agenda DAP dan PKR yang dilihat songsang tidak menguntungkan Islam. 

“Inilah yang dimaksudkan oleh Presiden PAS dalam tulisan terkini iaitu kerjasama mestilah berasaskan dua perkara; pertamanya dengan golongan yang tidak ‘ekstrem’ dan keduanya dengan golongan bukan bersifat ‘liberal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menjelaskan, dalam meluruskan asas muafakat, Presiden menegaskan kepentingan menjaga muafakat semua parti termasuk UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). 

“Bersama UMNO dipertegaskan slogan perkukuhkan MN. Bersama Bersatu pula di pertegaskan slogan mempertahankan PN yang PAS dan UMNO juga menjadi sebahagian kerajaannya. 

“Tidak mungkin kerajaan yang ditubuhkan dan diuruskan bersama cuba diruntuhkan pula sehinggalah berlakunya PRU seterusnya,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Khairuddin berkata, kesatuan di kalangan pemimpin sangat penting dalam mendepani pelbagai isu rakyat ketika dalam suasana pandemik COVID-19 dan kesuraman ekonomi.

Kesatuan ini juga menjadi asas kestabilan kerajaan, katanya lagi.

“Kerajaan perlu dilihat sentiasa memperjuangkan isu dan kepentingan rakyat. Kritikan yang dibuat mestilah dengan hasrat ke arah memperkasakan kerajaan bersama. 

“Tidak wajar isyarat yang salah disampaikan kepada rakyat yang sedang berhadapan dengan isu kesusahan ekonomi dan pengangguran akibat pandemik COVID-19.

“Kesatuan umat ini tidak mudah. Laluannya berliku. Ramai yang sedang mendoakan kejayaan kesatuan ini sepertimana adanya golongan yang mengharapkan kehancuran perpaduan ini kerana kepentingan peribadi sendiri. Ayuhlah umat terus bersatu di atas asas muafakat yang telus dan tulus,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button