Berita Utama

15 cedera bas ekspres terbabas

Terbalik ke dalam longkang di sebelah laluan jalan

IPOH, 22 Syaaban 1442H, Ahad – Seramai 15 orang termasuk seorang pemandu cedera apabila sebuah bas ekspres dinaiki mereka dipercayai terbabas ke bahu jalan di Kilometer (KM) 265 Lebuhraya Utara Selatan, berdekatan Terowong Menora arah selatan di sini, awal pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru, Shahrudi Muhamad Halil berkata pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan 12 lelaki dan tiga perempuan berusia antara 14 hingga 59 tahun itu pada pukul 2.22 pagi.

“Kami segera mengerahkan seramai 16 anggota dan pegawai dari BBP Meru dan bantuan dari BBP Ipoh ke lokasi kejadian bagi kerja-kerja menyelamat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati, kemalangan melibatkan sebuah bas ekspres yang terbabas dan terbalik ke dalam longkang di sebelah laluan jalan dan terdapat dua mangsa yang cedera parah.

Shahrudi berkata, anggota bomba telah membantu mengeluarkan mangsa dan memberi rawatan awal sebelum kesemua mangsa dibawa oleh ambulans ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk menerima rawatan lanjut.

Katanya, operasi bersama-sama Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan itu berakhir pada pukul 4.39 pagi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button