Berita UtamaIstimewa

Ahli Dewan Negara harus dilantik dari golongan ilmuwan, tokoh NGO, ulama tidak berpartisan

Peranan lebih besar perlu diberi pada ulama untuk kepentingan negara

BANGI, 22 Syaaban 1442H, Ahad – Keahlian Dewan Negara seharusnya dilantik dari kalangan ilmuwan, pemimpin NGO, individu dihormati masyarakat, pemimpin berwibawa dan beragama serta mereka yang tidak terlibat dalam politik kepartian termasuklah alim ulama.

Dengan cara itu undang-undang yang digarap dapat dinilai dari pelbagai aspek tidak hanya berteraskan kepada kaca mata politik semata-mata.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, peranan alim ulama tidak harus dikesampingkan kerana mereka yang akan menasihati umara agar tidak tergelincir dari landasan sebenar iaitu hukum syarak.

Berikutan itu, di setiap negeri terdapat peruntukan menyatakan Majlis Agama Islam hendaklah membantu dan menasihati Sultan berkenaan dengan semua perkara berhubungan dengan agama Islam.

Manakala, mufti hendaklah membantu dan menasihati Sultan dengan semua perkara hukum syarak dan pentadbiran keadilan dalam Islam pula dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah.

Zainul Rijal berkata, jelaslah peranan alim ulama sangat penting dalam segala aspek berkaitan agama Islam itu sendiri sama ada di peringkat negeri atau Persekutuan.

Katanya, di peringkat legislatif Persekutuan, sudah pasti ramai tahu terdapat dua dewan yang menguruskan penggubalan undang-undang iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Di peringkat negeri pula terdapat Dewan Undangan Negeri dan Dewan Diraja.

“Keanggotaan dewan ini berbeza iaitu dalam kalangan yang dipilih berdasarkan populariti undi dan dilantik berdasarkan status penghormatan dalam masyarakat keilmuan dan jasa seseorang.

“Namun, sejak akhir-akhir ini kedua-dua dewan di peringkat Persekutuan dimonopoli oleh individu daripada kalangan parti siasah sahaja.

“Ia menjadi wadah bagi meletakkan politikus yang tidak bertanding pada pilihan raya atau mereka yang tewas pada pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.

Dalam merealisasikan kerjasama antara ulama dan umara, Zainul Rijal menyarankan peranan yang lebih besar diberikan kepada para ulama agar dapat memberikan sumbangan penting kepada negara.

Bagaimanapun beliau mengingatkan, ulama juga perlu berprinsip melihat sesuatu perkara itu berdasarkan waqi’ yang ada di dalam negara dan tidak terikat sepenuhnya dengan pandangan ulama silam secara total.

“Bukanlah saya mengatakan ulama silam silap di dalam takulan mereka mengenai suatu hukum tetapi mungkin pandangan mereka sesuai di zaman mereka kerana perubahan persekitaran kita ini menuntuk perubahan hukum itu sendiri bagi masyarakat hari ini.

“Peranan ulama dan umara perlu dilaksanakan sebaiknya bagi memimpin rakyat ke arah lebih cemerlang. Umara memimpin ulama memastikan keutuhan akidah terpelihara di dalam pimpinan tersebut.

“Pertautan tiga elemen penting sesebuah negara iaitu ulama, umara dan rakyat itu sendiri sangat penting bagi kesejahteraan negara. Sekiranya ulama dan umara bergandingan maka rakyat juga yang akan menikmati kecemerlangan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button