Berita Utama

23 terbunuh banjir dan tanah runtuh di Indonesia

Bekalan eletrik terputus, istana presiden banjir dinaiki air

JAKARTA, 22 Syaaban 1442H, Ahad – Banjir kilat susulan hujan lebat awal pagi tadi menyebabkan 23 orang terkorban di pulau Flores Indonesia.

Sembilan yang lain cedera dan lima orang dilaporkan hilang – ketika negara jiran Timor-Leste melaporkan lapan kematian setakat ini.

Jurucakap agensi pengurusan bencana (BNPB), Raditya Jari dalam satu kenyataan berkata, sekurang-kurangnya 49 keluarga terjejas di pulau timur Indonesia itu.

“Puluhan rumah tertimbus lumpur di kampung Lamanele…rumah-rumah penduduk dihanyut banjir,” katanya merujuk kepada bahagian timur Flores.

Di pulau Adonara di timur Flores, sebuah jambatan runtuh dan para penyelamat bergelut dengan hujan lebat, angin ribut dan ombak, katanya.

Di Timur-Leste, lapan orang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di kawasan luar bandar, Dili, lapor agensi berita Tatoli.

“Kami sedang memberi tumpuan kepada mangsa warga tua, kanak-kanak dan wanita hamil untuk dibawa ke tempat selamat,” menurut laporan itu yang memetik Joaquim Gusmao, setiausaha negara bagi perlindungan awam.

Menurut saksi Reuters, seorang kanak-kanak berusia dua tahun adalah antara mangsa.

Para pegawai awam tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen.

Bekalan eletrik terputus dan istana presiden juga banjir memandangkan hujan lebat dan angin ribut melanda Dili sejak malam semalam.

Agensi cuaca Indonesia menyatakan taufan tropika sedang menghampiri Selat Savu antara bahagian selatan wilayah Nusa Tenggara dan pantai Timor-Leste.

Ia memberi amaran bahawa taufan itu akan membawa lebih banyak hujan, ombak dan angin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button