Berita Utama

Anggota polis masuk hospital bukan sebab komplikasi vaksin COVID-19

Orang ramai diminta henti sebar maklumat tidak benar

IPOH, 22 Syaaban 1442H, Ahad – Polis menafikan dakwaan yang tular menerusi media sosial kononnya seorang anggota daripada Balai Polis Gerik dimasukkan ke unit kecemasan hospital di sini akibat komplikasi vaksin COVID-19.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Zulkifli Mahmood berkata, siasatan mendapati anggota berkenaan sebenarnya menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.

“Anggota berkenaan diserang strok selepas habis waktu bertugas di pondok balai polis petang semalam dan dibawa ke Hospital Gerik sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping.

“Bagaimanapun beliau kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kemungkinan akan dibawa ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mesej tular dalam bentuk laporan itu menyatakan anggota berpangkat koperal berusia 58 tahun berkenaan mengalami komplikasi dan dimasukkan ke Hospital Gerik selepas mengambil suntikan dos kedua vaksin COVID-19.

Zulkifli turut meminta orang ramai supaya berhenti menyebarkan maklumat tidak benar selain memastikan kebenaran sesuatu maklumat bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang kerana mencetuskan kebimbangan kepada orang ramai. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button