Berita Utama

Majlis Tertinggi PN setuju bantu GPS menang PRN Sarawak

Sambut baik penubuhan Jawatankuasa Permesyuaratan Bersatu-PAS di peringkat pusat

KUALA LUMPUR, 22 Syaaban 1442H, Ahad – Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) sebulat suara bersetuju menggerakkan jentera serta akar umbi parti di setiap peringkat, bagi membantu Gabungan Parti Sarawak (GPS) memenangi Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, akan datang.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam kenyataan hari ini berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan Presiden Bersatu, merangkap Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

“Dalam mesyuarat tersebut, Majlis Tertinggi menzahirkan setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg, atas sambutan luar biasa terhadap delegasi Perdana Menteri ketika lawatan rasmi ke Sarawak pada 1 hingga 2 April.

“Keakraban yang ditunjukkan oleh kedua-dua pemimpin tertinggi parti sepanjang lawatan rasmi tersebut, membuktikan persefahaman politik antara dua parti berada pada tahap yang amat baik, dan kedua-dua pemimpin tertinggi parti itu juga komited untuk memantapkan lagi kerjasama politik antara PN dan GPS di masa hadapan,” katanya.

Mesyuarat itu turut dihadiri ketua parti komponen PN iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan (Presiden STAR); Senator Datuk Seri Yong Teck Lee (Presiden SAPP) dan Datuk Dr Dominic Lau (Presiden GERAKAN) serta ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lain.

Selain itu, Hamzah berkata, Majlis Tertinggi PN mengambil maklum serta menyambut baik penubuhan Jawatankuasa Permesyuaratan Bersatu-PAS di peringkat pusat, bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 seperti yang diumumkan bersama oleh Bersatu dan PAS pada 31 Mac lalu.

Katanya, PN percaya jawatankuasa itu mampu merangka strategi kukuh bagi meraih sokongan dalam kalangan bumiputera, di samping memelihara kepentingan dan hak bukan Bumiputera seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button