Berita UtamaDunia

97 terkorban banjir di Indonesia dan Timor Leste

Air naik, penduduk terpaksa panjat bumbung rumah

MALAKA, 23 Syaaban 1442H, Isnin – Banjir dan tanah runtuh akibat taufan tropika di gugusan pulau di Indonesia tenggara dan Timor Leste mengorbankan 97 orang setakat ini.

Sekurang-kurangnya 70 kematian dilaporkan di beberapa pulau di wilayah Nusa Tenggara Barat dan Timur, sementara 70 yang lain hilang, setelah ribut taufan menyebabkan banjir kilat, tanah runtuh dan angin kencang, kata Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).

Di Timor Leste, sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh akibat tanah runtuh, banjir kilat dan pokok tumbang, sementara 7,000 lagi dipindahkan, kata kerajaan.

Di pulau Lembata, pihak berkuasa bimbang mayat telah dihanyutkan.

Jurucakap BNPB, Raditya Jati berkata, kira-kira 30,000 orang terjejas akibat banjir di Indonesia – ada yang sudah berlindung di pusat pemindahan.

Katanya, operasi menyelamat menjadi sukar selepas lima jambatan runtuh dan pokok tumbang menyekat beberapa jalan.

Selain itu, pihak berkuasa tempatan berkata, ribut berterusan juga memaksa pemindahan di beberapa tempat dihentikan.

Ratusan rumah dan kemudahan lain seperti loji tenaga solar rosak, kata BNPB.

Kapal dan bot motor tenggelam ketika taufan membawa gelombang setinggi enam meter.

Arus yang kuat terus mengalir melalui perkampungan di daerah Malaka di pulau Timor pada hari ini, walaupun hujan sudah berhenti.

Penduduk terpaksa memanjat bumbung rumah mereka untuk selamatkan diri kerana air naik hingga tiga ke empat meter. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button