Berita Utama

Guru meninggal bukan kerana suntikan vaksin COVID-19: Polis

Mangsa ada rekod penyakit kronik seperti sakit jantung, darah tinggi

SEREMBAN, 23 Syaaban 1442H, Isnin – Polis hari ini menafikan maklumat tular menerusi media sosial kononnya seorang guru meninggal dunia selepas mengambil suntikan vaksin COVID-19.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed menjelaskan wanita itu mengalami sawan semasa berada di rumah dan dikejarkan ke Hospital Port Dickson pada 1 April untuk menerima rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya.

“Berita tular ini tidak benar dan pihak polis menafikan punca kematian mangsa disebabkan oleh pengambilan vaksin pada 31 Mac lepas.

“Ini kerana siasatan awal pihak hospital mendapati mangsa yang meninggal dunia mempunyai rekod rawatan penyakit kronik iaitu sakit kencing manis, jantung dan darah tinggi sejak setahun lepas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai wanita berusia 54 tahun yang merupakan seorang guru di Port Dickson meninggal dunia disebabkan pengambilan vaksin.

Aidi Sham menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan berita tidak benar yang boleh mengelirukan masyarakat, dan tindakan tegas akan diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button