Berita Utama

Isu kuil Hindu: Kesaksamaan apa lagi mahu dituntut DAP

Kerajaan perlu ambil serius saranan MIC, kaji secara menyeluruh

BANGI, 23 Syaaban 1442H, Isnin – Ultra kiasu yang menempelak Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berhubung isu pembinaan kuil Hindu hanya memilih untuk melihat kuil yang dirobohkan sahaja, tetapi isu lambakan atau yang sudah diganti baharu tidak pula dibangkitkan, kata pemerhati politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Beliau berkata, kuil sedia ada di negara ini sudah lebih daripada mencukupi jika hendak dibandingkan dengan bilangan penganutnya yang sedikit.

“Saya nasihatkan ultra kiasu Hindu ini, pergi kira bilangan kuil Hindu yang ada di negara ini berbanding dengan bilangan penganutnya yang begitu sedikit.

“Pergi kira berapa banyak kuil Hindu di Sentul dalam skala besar. Sedangkan penganutnya tidak seramai mana. Tidak jauh dari situ, pergi lihat di tepi-tepi jalan di Kuala Lumur, termasuk Lembah Pantai, Mid Valley, tengah-tengah bandar raya yang tiba-tiba timbul tombolnya.

“Begitu juga cuba pergi kawasan yang Melayu begitu ramai seperti Bandar Baru Bangi, Bangi, Serdang, dalam kawasan UPM, Hospital UPM, jejantas UNITEN dan banyak lagi. Dalam skala besar. Sehingga penghadang jalan pun dicabutnya. Ia sangat membahayakan nyawa apabila berada di jalan lebuh raya,” katanya dalam artikel kolumnis di Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika dikira secara keseluruhan, rumah ibadat yang paling banyak adalah kuil Hindu – dengan ratusan ribu buah – dalam keadaan penduduknya hanya 1.3 juta.

Bahkan, kata beliau, rumah ibadat orang Islam – masjid dan surau – selaku majoriti serta keistimewaannya termaktub dalam Perlembagaan pun tidak sebanyak kuil Hindu.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy mengecam Vigneswaran dan menggesa kenyataan yang dibuatnya ditarik balik.

Vigneswaran dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-74 antara lain berkata, kuil-kuil baru perlu dibina di tapak yang telah diluluskan bagi mengelakkan risiko perobohon akibat pertikaian status tanah.

Katanya, jika penganut Hindu tidak mengikut prosedur yang akhirnya membawa kepada perobohan kuil, maka mereka menghina dewa mereka sendiri.

Bagaimanapun, Ramasamy dari DAP berang dengan kenyataan itu dengan menyifatkan Vigneswaran menuding jari kepada mangsa, dan bukannya pelaku yang telah merobohkan kuil dengan alasan kesahan dari sudut perundangan.

Ramasamy berkata, jika pembangunan kuil mendapat akses tanah yang saksama, maka persoalan tentang tanah haram tidak akan timbul.

Membidas pertikaian Ramasamy itu, Prof Mohd Ridhuan Tee pula mempersoalkan, kesaksamaan yang bagaimana yang dituntut pemimpin DAP itu.

“Saya fikir, kuil-kuil yang ada sudah lebih daripada mencukupi. Kesaksamaan apa yang dituntut lagi? Keadilan itu bukan saksama, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya.

“Jika kesaksamaan yang dituntut. Sepatutnya masjid surau mesti setara dengan ratusan ribu kuil Hindu. Lagi pun ini negara majoriti Islam.

“Tetapi masjid surau hanya ada sekitar 30,000 sahaja di seluruh negara. Kenapa ultra kiasu tidak perjuangkan kesaksamaan masjid surau supaya supaya bilangannya sama seperti kuil Hindu? Had dan saksama apa yang kamu cakap ultra kiasu? Kamu langsung tidak beryukur?,” soalnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, saranan MIC supaya pembinaan kuil perlu mendapat kelulusan perlu disambut baik oleh semua pihak kerana pada hakikatnya sudah terlalu banyak kuil di negara ini.

“Saya memohon kerajaan memandang serius saranan MIC ini. Buat kajian secara menyeluruh. Tubuh pasukan penyelidik untuk mengira berapa banyakkah rumah ibadat yang ada di negara ini, kemudian nisbahkan dan cari formula. Saya dan pasukan bersedia melakukan kajian ini.

“Kementerian Perpaduan kenalah melihat perkara ini dengan serius dan buatlah kajian. Janganlah terlalu berpolitik demi untuk masa depan negara. Amanahkan kepada mereka yang benar-benar boleh buat kerja, bukan bercakap di awang-awangan, tidak berpijak di bumi nyata,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button