Berita Utama

Negara perlu akta halang lantik kroni politik ke jawatan penting

Dapat jawatan hasil politik tapi gagal laksana tugas, lebih baik undur diri

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 23 Syaaban 1442H, Isnin – Ahli Jawatankuasa Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), AD Satiman bersetuju, dengan syor yang meminta supaya keahlian Dewan Negara dilantik dalam kalangan ilmuwan, tokoh NGO, pemimpin berwibawa dan beragama serta mereka yang tidak terlibat dalam politik kepartian termasuklah alim ulama.

Cadangan yang dikemukan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar itu disifatkan sebagai bagus dan beliau turut sependapat dengannya.

AD Satiman menegaskan, sesuatu posisi atau apa-apa jawatan dalam negara adalah tanggungjawab dan masing-masing mempunyai peranan tersendiri untuk membangunkan negara.

Justeru, tegasnya, pendekatan menjadikan posisi atau jawatan penting urus tadbir negara seperti Dewan Negara sebagai ‘laba’ untuk diagihkan kepada kroni politik adalah perbuatan yang dikeji serta merosakkan negara.

“Kita umum mengetahui, memang ramai kroni politik yang dilantik ke jawatan-jawatan tersebut adalah tidak kompeten dan gagal ‘deliver’ kerja membangun negara.

“Sebab itu saya kira, kita Malaysia banyak ketinggalan dalam aspek pembangunan negara terutama industri digitalisasi negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, pemimpin perlu ingat bahawa jawatan itu bukan milik peribadi atau milik parti untuk diagih-agihkankan secara sesuka hati, apatah lagi untuk manfaat nafsu politik semata-mata.

“Kesannya, banyak manusia hebat dan cendekiawan negara tidak dapat peluang untuk sama-sama terlibat mentadbir dan membangun negara. Ini akan jadi kerugian yang memakan diri kita kelak di kemudian hari.

“Saranan saya, negara perlu perundangan dan akta untuk menghalang gejala ini daripada berterusan.

“Dan kepada mereka yang sedang memegang jawatan semata kerana pemberian politik apatah lagi gagal melaksanakan tugas, jika ada maruah, molek letak jawatan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button