Berita Utama

Rayuan kes penceroboh durian Musang King didengar 21 Julai

Samka dakwa pekebun diganggu pihak Royal Pahang Durian Resources

KUANTAN, 23 Syaaban 1442H, Isnin – Mahkamah Rayuan menetapkan pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan pekebun durian Musang King di Raub pada 21 Julai 2021, kata Penasihat Save Musang King Alliance (Samka), Chow Yu Hui.

Beliau berkata, 204 pekebun durian dari enam perkampungan di Raub telah menyaman kerajaan negeri Pahang kerana menyewakan tanah kepada Royal Pahang Durian Resources Sdn Bhd (RPDP).

“Dalam tempoh ini, semua litigan mendapat jaminan mahkamah, yang membolehkan mereka bebas keluar masuk kebun durian, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perhutanan dan Royal Pahang Durian tidak boleh mengusir pekebun,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Samka, baru-baru ini.

Menurut Yu Hui, jika prosiding mahkamah pada 21 Julai membenarkan pelaksanaan perintah yang dimohon pekebun, maka tempoh penghakiman dan perintah mahkamah dapat dilanjutkan.

Sementara itu, Pengerusi SAMKA, Chang Yee Chin mendakwa ada pekebun yang diganggu oleh RPDP.

Dakwanya, mereka dipaksa mengukur kawasan kebun dan kemungkinan bermula bulan Jun, mereka akan memaksa pekebun menjual durian dengan harga lebih rendah dari pasaran kepada mereka.

Berikutan itu, Yee Chin menggesa semua pekebun yang telah mendatangani perjanjian untuk pas masuk kebun segera menarik balik penyertaan dalam ‘rancangan pemutihan’ RPDP.

Yee Chin malah mencabar RPDP dengan menunjukkan geran tanah yang membuktikan mereka telah mendapat lot untuk penanaman durian.

“Oleh itu, semua tindakan memaksa pekebun mengukur kebun dianggap sebagai perbuatan intimidasi dan penipuan.

“Menurut rekod SAMKA, minggu lepas, Royal Pahang Durian telah menghantar beberapa orang yang menyamar sebagai kakitangan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar untuk menutup beberapa kawasan penanaman durian secara rawak, ini adalah tindakan yang melampau dan keji.

“Saya berharap polis boleh menjalankan siasatan dengan segera, bagi menghalang individu yang melanggar undang-undang mengganggu para pekebun dan menjejaskan mata pencarian mereka,” katanya.

Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan menolak permohonan pendengaran kes semakan kehakiman yang difailkan 204 pekebun durian Raub bagi mengetepikan notis pengosongan tanah yang dikeluarkan kerajaan Pahang terhadap mereka sebelum ini.

Keputusan itu dibuat Hakim, Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas berpuas hati dengan hujah pihak responden yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Fadzila Ishak dan plaintif yang diwakili peguam, Siew Choon Jern dan Brendan Siva.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button