Dunia

Siasatan dapati Putera Hamzah ada hubungi pihak asing gugat kestabilan Jordan

Media melaporkan beberapa pegawai tinggi ditahan atas alasan keselamatan

MOSCOW, 23 Syaaban 1442H, Isnin – Menteri Luar merangkap Timbalan Perdana Menteri Jordan Ayman Safadi pada Ahad berkata siasatan mendapati Putera Hamzah bin Hussein dan dua lagi pegawai telah menghubungi agensi perisikan asing bertujuan menggugat keselamatan negara, lapor Sputnik.

Pada Sabtu, media Jordan melaporkan beberapa pegawai tinggi ditahan atas alasan keselamatan.

Dalam pesanan video, Hamzah bin Hussein, saudara tiri Raja Abdullah II, berkata beliau kini ditahan di rumah dan tidak dibenarkan berkomunikasi atau bertemu sesiapa pun.

Tentera menafikan berita mengenai penahanan itu sebaliknya beliau hanya diminta untuk menghentikan “gerakan dan kegiatan yang bertujuan menyasarkan” keamanan dan kestabilan Jordan.

“Siasatan menyeluruh dan terperinci yang dijalankan Angkatan Tentera Jordan bersama Direktorat Perisikan Umum dan Direktorat Keselamatan Awam, mendapati pergerakan dan kegiatan Putera Mahkota Hamzah Bin Hussein, Hassan Bin Zeid dan Bassem Ibrahim Awadallah dan beberapa yang lain menyasarkan keselamatan dan kestabilan negara,” kata Safadi pada taklimat media di Amman.

Menteri luar berkenaan berkata kerabat diraja itu menghubungi perisik asing yang identitinya dirahsiakan dan dikatakan mahu menggulingkan Raja Abdullah I.

“Siasatan dapati ada campur tangan asing dan menunggu masa yang sesuai untuk lancarkan gerakan gugat keselamatan negara kita,” tambah Safadi. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button