Berita Utama

Polis ambil keterangan 15 saksi Himpunan Selamatkan Tanah Air

Kertas siasatan siap minggu ini, rujuk Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 17 Rejab 1445H, Isnin – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil 15 keterangan terdiri daripada tujuh saksi awam dan lapan saksi polis bagi membantu siasatan berkenaan himpunan ‘Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara’.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dalam sidang akhbar hari ini berkata, siasatan itu akan disiapkan minggu ini.

Beliau memaklumkan, kenyataan seramai enam lagi saksi awam diambil hari ini dan esok sebelum kertas siasatan akan disiapkan selewat-lewatnya pada Rabu.

“Kita dah rakam banyak keterangan saksi, antaranya termasuklah Che’gu Bard (Badrul Hisham Shaharin).

“Bila dah lengkap baru kita akan rujuk pada Jabatan Peguam Negara,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan. 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai laporan polis yang dibuat Istana Negara terhadap Che’gu Bard, Allaudeen berkata, siasatan tersebut dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

“Yang itu kita serah pada USJT Bukit Aman untuk siasat. Kami hanya siasat kes yang hanya di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Pemberitahuan Perhimpunan),” katanya. 

Terdahulu, dilaporkan bahawa lebih 1,000 orang ramai berhimpun di hadapan pintu dua Istana Negara, di sini, bagi membawa suara rakyat sempena himpunan Selamatkan Tanah Air Kita Suara Rakyat Ke Istana Negara.

Himpunan itu diselaraskan oleh pihak sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), mewakili tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyerahkan memorandum, dipercayai mengandungi pelbagai tuntutan membabitkan isu semasa negara ketika ini.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tanda sokongan, selain kehadiran beberapa ahli politik lain.

Difahamkan, empat individu menyampaikan memorandum itu ke kawasan istana untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button