Berita Utama

Tujuh ditahan, sindiket kartel projek monopoli 345 tender kerajaan

Ketua sindiket kawal lebih 150 syarikat, gajikan beberapa individu sebagai pengarah

BANGI, 23 Syaaban 1442H, Isnin – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tujuh individu lewat tengah malam semalam bagi membantu siasatan berhubung sindiket kartel projek.

Sindiket kartel projek itu dikatakan telah memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dengan nilai projek sebanyak RM3.8 bilion.

Menurut sumber, sindiket itu dipercayai beroperasi sejak tahun 2014 hingga sekarang.

“Ketua sindiket berkenaan mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terbabit.

“Beliau dikatakan mewujudkan 150 syarikat berbeza dengan menggajikan beberapa individu sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki beliau sendiri.

“Tumpuan sindiket ialah terhadap projek penyelenggaraan kemudahan dan projek pembangunan,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Selain itu, sindiket ini dipercayai mendapat kerjasama ‘orang dalam’ untuk memastikan syarikat-syarikat di bawah ‘kawalannya’ dibenarkan masuk tender atau sebut harga dan memastikan salah satu daripadanya berjaya.

Sumber berkata, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada orang dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender atau sebut harga.

“Taktik ‘mengepung harga’ iaitu dengan menyertai sesuatu tender dengan menggunakan sejumlah besar syarikat yang berada di bawah kawalan ketua sindiket.

“Syarikat terbabit akan memasuki tender mengikut harga berbeza berdasarkan harga siling ditetapkan,” katanya.

Hasil risikan yang dijalankan juga katanya, mendapati sindiket ini telah menggunakan nama beratus individu untuk membuka syarikat-syarikat di bawah naungannya.

“Setiap individu akan dibayar gaji bulan dan komisyen sebagai imbuhan bagi penggunaan nama dan butir-butir peribadi. Dipercayai butir-butir kelayakan akademik dan kelayakan profesional bagi kebanyakan penama yang digunakan untuk menubuhkan syarikat adalah palsu.

“Setiap syarikat juga dikatakan menggunakan penyata kewangan palsu untuk melayakkan mereka memasuki tender atau sebut harga berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki tidak menolak lebih banyak tangkapan akan dilakukan dalam masa terdekat.

Beliau yang mengesahkan tangkapan semalam berkata, kes disiasat mengikut seksyen 17 dan 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button