Berita Utama

Kegiatan haram tanam Musang King baru seluas 16.2 hektar di Raub

Tiga individu dipercayai dalang teroka kawasan

RAUB, 24 Syaaban 1442H, Selasa – Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub memusnahkan tanaman pisang, durian Musang King dan Duri Hitam yang ditanam secara haram di Kompartmen Satu, Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras.

Pegawai PHD Raub, Shahril Mohamad berkata, siasatan mendapati kawasan berkenaan diteroka dengan tanaman pisang jenis berangan dan sematu berusia empat bulan sementara durian Musang King dan Duri Hitam pula berusia tiga bulan dalam kawasan seluas lebih 16.2 hektar.

Katanya, operasi musnah bermula 9 pagi semalam disertai 14 kakitangan dibantu Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain memusnahkan pokok yang ditanam, beliau berkata, pihaknya turut bertindak merobohkan pondok atau rumah kongsi sementara dibina, dipercayai tempat tinggal 10 hingga 15 pekerja ladang berkenaan yang bekerja dengan tiga individu.

“Ketika operasi dijalankan pihak kami tidak menemui pekerja dalam kawasan ladang berkenaan, dipercayai mereka terlebih dahulu bertindak meninggalkan tempat itu sebelum serbuan dilakukan.

“Operasi pemusnahan ladang haram yang bermula semalam dijangka mengambil masa selama empat hingga lima hari bergantung dengan keadaan cuaca yang tidak menentu kini,” katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, usaha memusnahkan tanaman yang ditanam secara haram itu mengambil masa panjang kerana mereka yang terbabit dalam operasi itu menggunakan parang untuk menebang lebih 5,300 pokok pisang, 4,000 durian Musang King serta Duri Hitam (1,300).

Jelasnya, bentuk muka bumi yang berbukit di kawasan Hutan Simpan Sempam turut menjadi faktor berlaku kelewatan operasi memusnahkan tanaman yang dilakukan secara berterusan.

Dalam pada itu, beliau berkata, tiga individu dipercayai menjadi dalang meneroka kawasan berkenaan yang terletak di tengah Hutan Simpan Sempam, mereka seolah degil serta cuba mencabar kerajaan negeri dan pihak Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

“Kita tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini, tindakan tegas menanti mereka di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Kita akan terus berusaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, pelbagai cara akan digunakan bagi memastikan kesalahan itu dapat segera disekat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button