Berita Utama

Ada segelintir penjawat awam diperguna pihak berkepentingan

Sokong semua usaha SPRM banteras penyelewengan dalam sistem kerajaan

BANGI, 24 Syaaban 1442H, Selasa – Ketua Setiausaha Negara (KSN) memberi jaminan mengenakan tindakan tegas terhadap mana-mana penjawat awam yang terbabit dalam sebarang salah laku sekiranya dibuktikan bersalah.

Tan Sri Mohd Zuki Ali kesal apabila terdapat segelintir penjawat awam yang membenarkan diri mereka diperguna oleh pihak berkepentingan untuk habuan lumayan.

Ini susulan pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sindiket kartel tender kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion.

Menyifatkan pendedahan itu membimbangkan, Mohd Zuki berkata, kes berkenaan mula dikesan sejak tahun 2014, dan hasil risikan berterusan SPRM berjaya membawa kepada penahanan beberapa individu sebagai suspek utama siasatan.

“Saya telah berulang kali memberi peringatan kepada semua ketua jabatan supaya menerap dan memegang utuh konsep integriti dalam pengurusan organisasi dengan memperkukuh program kesedaran dan pencegahan selaras dengan pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP).

“Jabatan Perkhidmatan Awam telah diarahkan untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai di jawatan-jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menyokong semua usaha yang dikendalikan SPRM untuk membanteras sebarang bentuk salah laku dan penyelewengan dalam sistem penyampaian kerajaan.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan kerana disyaki terbabit sindiket kartel tender projek. 

Lelaki berusia 38 tahun bekerja sebagai juruukur bahan Gred 48 itu dipercayai terbabit kerja penyediaan Bill of Quantity (BQ) bagi projek ditawarkan agensi berkenaan, menurut sumber. 

Katanya, suspek disyaki menerima rasuah bagi membocorkan maklumat berhubung spesifikasi projek, kepada ketua sindiket bertujuan memudahkan penyediaan dokumen tender.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button