Berita Utama

ADUN Sebatik masuk Bersatu

Keluar Warisan kerana kecewa sikap pemimpin terlalu banyak berpolitik

BANGI, 24 Syaaban 1442H, Selasa – Teka-teki mengenai hala tuju politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir terjawab selepas beliau menyerahkan borang keahlian menyertai Bersatu, semalam.

Hassan menyerahkan borang keahlian menyertai Bersatu kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Memetik laporan media tempatan, Hajiji kemudian menyerahkan borang berkenaan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sambil disaksikan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas menyempurnakan Sambutan Ulang Tahun Kedua Bersatu Sabah, malam semalam.

Hassan memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebatik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 26 September lalu atas tiket Warisan.

Pada 25 Februari lalu, beliau mengumumkan menjadi ADUN Bebas yang menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di peringkat negeri dan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat nasional.

Tindakan ADUN Sebatik yang bertindak keluar parti mengundang kontroversi dan diselar pucuk pimpinan Warisan yang kemudiannya mengheret perkara itu muka pengadilan.

Ini termasuklah tindakan Warisan menggesa Hassan untuk mengosongkan kerusi DUN diwakilinya kerana didakwa telah menandatangani surat akuan bersumpah ketika penamaan calon pada tahun lalu.

Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, tindakannya meninggalkan Warisan didorong kekecewaan dengan sikap pemimpinnya yang terlalu banyak berpolitik ketika rakyat berdepan kesusahan disebabkan pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button