Berita Utama

Banteras rasuah hingga ke akar umbi

Galas tanggungjawab dengan integriti, jujur, berprinsip

BANGI, 24 Syaaban 1442H, Selasa – Langkah membanteras gejala rasuah yang dilihat semakin berleluasa perlu diberi perhatian khusus sehingga ke akar umbi.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, pihaknya konsisten membanteras amalan rasuah dalam kalangan penjawat awam, penguatkuasa termasuklah kepimpinan negara yang jelas merosakkan negara.

Katanya, setiap manusia yang diberikan tanggungjawab hendaklah ditanamkan dengan nilai integriti, bersikap jujur dan berprinsip agar dapat menguruskan kepercayaan orang lain terhadapnya dengan sempurna.

“PAS merakamkan ucapan tahniah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana telah melumpuhkan sindiket kartel tender kerajaan yang dipercayai aktif sejak 2014.

“Lebih mengecewakan sindiket yang mencecah RM3.8 bilion dengan memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan mendapat kerjasama daripada ‘orang dalam’ yang memasukkan syarikat bagi proses mendapatkan tender dengan sogokan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, SPRM menahan tujuh individu dipercayai anggota sindiket kartel memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu.

Penahanan individu terbabit termasuk ketua sindiket berusia 47 tahun itu dipercayai melumpuhkan sindiket kartel projek dan tender kerajaan dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 billion.

Kartel terbabit dikatakan memonopoli sebanyak 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dan dipercayai beroperasi sejak tahun 2014 sehingga sekarang.

Ketua sindiket berkenaan dilaporkan mengawal lebih 150 buah syarikat yang digunakan untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terbabit.

Beliau dikatakan mewujudkan 150 syarikat berbeza dengan menggajikan beberapa individu sebagai pengarah syarikat yang mana sebenarnya dimiliki beliau sendiri.

Terbaharu, SPRM menahan seorang pegawai kanan sebuah agensi kerajaan, tengah malam semalam, kerana disyaki terbabit sindiket kartel tender projek yang ditumpaskan, semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button