Berita Utama

Semua orang ada sejarah, PAS terima sokongan Tun M

Harap perubahan bekas PM dapat bersihkan kesilapan lalu

BANGI, 4 Muharam 1445H, Sabtu – PAS terbuka dengan sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Perikatan Nasional (PN) apabila membuat kemunculan pertama di pentas parti itu di Kelantan, semalam.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, setiap individu mempunyai sejarah masing-masing dan positif dengan perubahan yang ditonjolkan negarawan tersebut.

Justeru, Naib Presiden PAS itu berharap sokongan Dr Mahathir dapat membersihkan kesilapan lalu.

“Sejarah lalu nak buat macam mana. Semua orang ada sejarah masing-masing.

“Kalau diambil dalam sejarah Islam orang yang masuk Islam ramai yang ada masalah sebelum Islam, lawan nabi.

“Saya harap dengan kemasukan Tun M bersama PN dapat membersihkan kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir membuat kemunculan pertamanya di atas pentas PN, dengan menyampaikan amanat negarawan di hadapan puluhan ribu penyokong parti itu.

Menarik perhatian, Dr Mahathir yang memakai kemeja putih turut menyarung jaket PAS.

Dalam ucapannya, bekas Ahli Parlimen Langkawi yang kini menginjak usia 98 tahun itu menyeru pengundi menunaikan tanggungjawab – sekali gus menyapu bersih dan menang PRN di enam negeri terbabit.

“Saya harap dapat sapu bersih. Kita semua orang Melayu, ramai yang berkata orang Melayu berpecah dan tak mungkin bersatu.

“Tapi malam ini dapat lihat pemimpin parti-parti Melayu berkumpul di sini kerana nak memperjuangkan nasib dan masa depan negara.

“Tidak mudah kita nak serahkan kepada orang lain kerana kita juga ada kebolehan untuk mentadbir. Suatu masa dulu kita digelar ‘harimau Asia’, hari ini sudah jadi ‘kakistokrasi’,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button