Berita Utama

Individu berpengaruh, selebriti antara pengguna aplikasi Sugarbook

Darren Chan enggan dedahkan nama kepada pihak berkuasa

KUALA LUMPUR, 24 Syaaban 1442H, Selasa – Pengasas aplikasi dan laman web temu janji kontroversi Sugarbook menyatakan, terdapat individu-individu berpengaruh yang mendaftar sebagai ahli, namun dia enggan mendedahkan nama-nama tersebut kepada pihak berkuasa.

Chan Eu Boon, 34, yang lebih dikenali sebagai Darren Chan, memberitahu VICE, terdapat juga selebriti tempatan yang mendaftar sebagai ahli.

“Saya faham mengapa ada pihak yang mungkin mahu saya mengeluarkan nama dan mendedahkan ‘sugar daddy’, tetapi kami memandang serius data dan privasi dan tidak akan menjejaskan identiti peribadi sesiapa.

“Pihak berkuasa telah meminta nama dan alamat ahli premium kami, tetapi saya berulang kali menolak untuk mendedahkan sebarang maklumat,” katanya ketika wawancara dengan portal berita antarabangsa.

Dia juga menolak dakwaan bahawa Sugarbook mempromosikan pelacuran, sebaliknya mengatakan ia adalah laman web temu janji dalam talian yang istimewa.

Chan memaklumkan bahawa dia kini fokus kepada pengembangan perusahaan di luar negara dan mempertimbangkan untuk memasuki pasaran seperti Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Tokyo.

Chan berdepan satu pertuduhan bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.

Dia didakwa menggunakan laman web technave.com bagi menyiarkan catatan ‘Top 10 Sugar Baby Universities in Malaysia’, dengan niat menimbulkan kegusaran awam.

Dia berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button