Berita Utama

‘Pupus bahasa Melayu, pupuslah bangsa Melayu’

Bahasa kebangsaan terancam jika tiada usaha memperkasakannya

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 25 Syawal 1443H, Khamis – Bangsa Melayu boleh diancam kepupusan sekiranya bahasa Melayu tidak diperkasakan dan gagal diangkat menjadi bahasa negara.

Justeru, kerajaan mesti serius bukan hanya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan rakyat Malaysia merentasi kaum, tetapi juga mengangkatnya kepada bahasa ilmu dan perhubungan di rantau Asia.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, setiap pemimpin mesti bertanggungjawab menjaga bahasa Melayu dan menjadikannya bahasa pertuturan utama dalam kalangan warganegara ini.

“Semua bangsa di negara ini mesti boleh bertutur dengan bahasa Melayu ini walaupun sesama bangsa mereka. Saya melihat bahasa Melayu memiliki dua tuliasan iaitu rumi dan jawi.

“Kedua-dua tulisan ini mesti dijaga dan diguna pakai oleh semua rakyat yang berwarganegara Malaysia.

“Sebarang tindakan yang mampu diterjemahkan sebagai menolak salah satu daripada dua tulisan milik bahasa Melayu ini mesti diambil tindakan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Atas dasar itu, beliau melihat semua pemimpin sama ada dalam kalangan pembangkang dan terutamanya kerajaan, hendaklah mempunyai agenda besar terhadap masa depan bahasa Melayu.

Malah, beliau yakin bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan perhubungan di rantau Asia akan terancam disebabkan kelalaian dan tiada sebarang usaha dalam memperkasakannya.

“Jangan biarkan akhirnya bangsa Melayu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya tidak berbahasa. Bahasa Melayu itu melambangkan bangsa.

“Saya ingin mengingatkan bahawa pupusnya sesuatu bangsa itu dengan bermula pupusnya bahasa bangsa tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button