Kartel projek: SPRM sita 2 helikopter, beku 644 akaun bank
Aset lain termasuk banglo, pejabat, kereta mewah turut disita

KUALA LUMPUR, 24 Syaaban 1442H, Selasa – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua buah helikopter bersama 644 akaun bank individu dan syarikat dengan simpanan kira-kira RM100 juta, hasil siasatan terhadap kartel projek tender kerajaan.
Pada masa sama, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah RM3.5 juta daripada kediaman ketua sindiket terbabit yang bergelar Datuk berusia 47 tahun.
Malah, suruhanjaya itu turut menyita pelbagai aset lain seperti banglo, rumah kedai, dan pejabat yang dianggarkan bernilai RM29 juta selain kereta mewah bernilai RM15.7 juta.
Selain itu, aset dan wang tunai yang disita serta pembekuan akaun itu dilakukan berikutan tangkapan tujuh individu anggota sindiket kartel diketuai lelaki itu, yang memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu.
Kartel diketuai lelaki terbabit, dikatakan membolot projek kerajaan menerusi tender dan sebut harga bernilai lebih RM3.8 bilion sejak tahun 2014 hingga kini.
Sumber berkata, ketua sindiket itu menunjukkan kemewahan yang amat luar biasa.
“Selain memiliki nilai hartanah dan wang tunai yang luar biasa jumlahnya, suspek juga memiliki beberapa kereta mewah, sebuah kapal mewah dan dua buah helikopter,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Modus operandi kumpulan kartel projek ini ialah membuka lebih 150 buah syarikat dengan setiap individu yang digunakan nama sebagai pengarah syarikat dibayar gaji antara RM5,000 hingga RM8,000.
“Dipercayai 114 individu digunakan namanya untuk membuka lebih 150 buah syarikat, namun kesemua syarikat itu adalah milik oleh suspek.
“Kesemua syarikat ini akan digunakan secara bergilir-gilir untuk memasuki tender dan sebut harga di kementerian dan agensi kerajaan.
“Maklumat tender dan sebut harga termasuk spesifikasi projek dan harga siling projek akan disalurkan oleh individu dalam kementerian atau agensi,” kata sumber.
Sementara itu, siasatan SPRM mendapati, hampir kesemua syarikat yang digunakan menggunakan maklumat palsu termasuk dari segi kelayakan akademik, sijil profesional mahupun penyata kewangan.
Maklumat palsu itu bagi meyakinkan lembaga tender berhubung keupayaan syarikat-syarikat untuk melaksanakan projek.