Berita Utama

Kluster mahkamah patut undur!

Pemimpin UMNO terpalit kes perlu diganti individu berintegriti

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 24 Syaaban 1442H, Selasa – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disarankan mengundur diri bagi memastikan agenda besar parti tidak tersasar.

Bukan sahaja Presiden, malah sesiapa sahaja pemimpin UMNO yang terpalit dengan kes mahkamah dan salah laku serta kerendahan moral, disaran undur diri dan digantikan dengan pemimpin yang berakhlak, berintegriti serta berwibawa.

Saranan itu dilihat wajar kerana kepentingan agenda besar parti adalah lebih utama diselamatkan berbanding yang lainnya.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, pemimpin yang menghayati agenda besar parti tidak akan tersasar dalam menerajui parti.

Atas dasar itu, sekiranya merasakan tidak mampu, maka pemimpin parti tidak akan malu untuk mengundur diri secara sopan dan terhormat.

“Meletakkan satu kerangka yang besar dalam membawa agenda besar adalah sangat penting bagi sesebuah parti.

“Agenda besar parti mesti jelas dan difahami serta dihayati oleh semua pemimpin parti di setiap peringkat. Ini penting kerana, setiap pemimpin yang silih berganti akan dapat meneruskan agenda besar tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Bercakap mengenai agenda besar, beliau berkata, ia mestilah menjurus kepada membina tamadun dan peradaban yang berasaskan tauhid bukannya pelengkap kepada tamadun barat.

Justeru, beliau menggesa UMNO membina agenda besar dan segera keluar daripada agenda sempit parti yang asyik bercakap mengenai kepentingan parti semata-mata.

“Rakyat sudah pandai menilai hala tuju parti berdasarkan kepada apa yang berlaku hari-hari dan diperkatakan oleh pemimpin parti.

“Rakyat tidak mudah lagi terpesona dengan laungan pemidato dari pewakilan-perwakilan di pentas persidangan agung UMNO, bahkan dari percikan pidato itu juga boleh membawa kebencian rakyat kepada pemimpin UMNO seluruhnya.

“Ini kerana rakyat akan menilai semua itu tidak ubah seperti ayam jantan kokok berderai-derai tetapi ekor bergelumang tahi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberi amaran kesan kepada agenda sempit parti di akhirnya akan membuatkan pemimpin mengambil peluang ke atas ahli untuk agenda peribadi dan membina kekuatan diri di dalam parti demi kelangsungan kerjaya politik peribadi.

“Membawa agenda kerjaya politik peribadi biasanya tidak akan bertahan lama kerana akan muncul pula peribadi pemimpin lain di dalam parti untuk bersaing secara negatif.

“BERJASA melihat bahawa membawa agenda besar demi maslahah ummah dan kemanusiaan adalah tugas utama parti.

“Mendidik dan mencerdikkan semua ahli dengan agenda besar tersebut juga tidak kurang pentingnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button