Berita Utama

Lemah! Tangguhkan konsert pun tak boleh

Janganlah kerana akur dengan kelompok minoriti, kita lupa solidariti untuk saudara di Gaza

BANGI, 8 Jamadilawal 1445H, Rabu – Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap lemah berikutan tidak berupaya untuk menangguhkan konsert kumpulan muzik terkemuka dari United Kingdom (UK), Coldplay.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyuarakan pandangan itu selepas membandingkan situasi di negara ini dengan Qatar yang bersolidariti bersama Gaza dengan menangguhkan sambutan hari kebangsaan negara berkenaan.

“Hebat solidariti Qatar bersama Gaza. Di Malaysia, kita bukan tuntut untuk tangguhkan sambutan lain, sekadar tangguhkan konsert Coldplay yang Mufti Wilayah Persekutuan pun syorkan tangguh, itupun tak boleh. Lemah!

“Masa masih ada berbaki, kita minta kerajaan, tolong tangguhkan konsert ini. Janganlah kerana akur dengan kelompok minoriti, kita lupa solidariti untuk saudara kita di Gaza.

“Lainlah jika minoriti itulah yang merupakan penyokong kuat kerajaan…mungkin itu yang dibimbangi,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Semalam, Anwar berkata, beliau akan berbincang dengan Mufti Wilayah Persekutuan berhubung penganjuran konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur.

Tindakan itu susulan gesaan segelintir pihak yang mahukan konsert tersebut dibatalkan.

Perdana Menteri menjelaskan, kumpulan muzik popular itu antara yang menyokong Palestin.

Kelmarin, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Luqman Abdullah menggesa penganjur membatalkan konsert Coldplay.

Katanya, band itu menyokong kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) jelas bertentangan dengan nilai murni serta budaya Malaysia.

Pautan berkaitan;

Konsert Coldplay: Anwar akan bincang dengan mufti

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button