Berita Utama

Minta graduan bersyukur gaji rendah, menteri ibarat lepas tangan

Rakyat bukan tak sabar, tapi persoal cara kerajaan tangani isu

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 24 Syaaban 1442H, Selasa – Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed yang meminta graduan bersyukur jika mendapat peluang pekerjaan walaupun bergaji rendah, dilihat amat tidak bertanggungjawab.

Turut menyifatkannya sebagai kenyataan ‘lepas tangan’, Presiden Persatuan Pembina Nasional (PEMBINA), Wafiq Azman berkata, sepatutnya kerajaan lebih proaktif dalam menangani isu gaji minimum atau setimpal dengan kelulusan graduan, terutama dalam situasi pandemik.

“Rakyat bukan mempersoalkan isu syukur atau tidak syukur, tapi rakyat mempersoalkan keseriusan kerajaan menangani isu yang telah berlaku lebih dari puluhan tahun ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, Mustapa berkata, golongan graduan perlu bersyukur sekiranya mendapat peluang pekerjaan walaupun bergaji rendah.

Katanya, pasaran dan permintaan tenaga buruh lemah kerana ekonomi menguncup sebanyak 5.6 peratus.

“Jadi bagi saya para graduan dapat pekerjaan itu bersyukurlah kerana ramai lagi yang tiada kerja walaupun gaji itu mungkin rendah.

“Kena sabarlah dalam keadaan tahun lepas, yang harga (gaji) tu harga tahun lepas. Kita jangka tahun ini apabila ekonomi beransur pulih, mungkin gaji akan boleh naik,” katanya.

Bagaimanapun, Wafiq berkata, pada tahun lepas sahaja, rata-rata siswazah menerima anggaran gaji bulanan antara RM1,001 hingga RM1,500 iaitu 50 peratus lebih rendah dari purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada tahun 2019. 

Sementara kebanyakan pascasiswazah pula menerima gaji hanya pada paras minimum yang ditetapkan pada RM1,200 pada tahun 2020 iaitu sama dengan gred gaji lepasan diploma, katanya.

Wafiq menegaskan, keadaan ini sememangnya akan memberi kesan jangka masa panjang kepada produktiviti industri tenaga mahir negara.

“Masalah utama dalam bab peningkatan kadar gaji graduan adalah disebabkan peluang pekerjaan oleh industri yang tidak selari dengan jumlah graduan. 

“Walaupun majoriti graduan lepasan universiti sepatutnya bekerja pada pekerjaan tenaga mahir, namun, mengikut statistik majoriti siswazah khususnya Bumiputera (62 peratus) hanya bekerja dalam sektor separuh mahir.

“… seperti pekerja sokongan perkeranian, pekerja perkhidmatan dan jualan, pekerja pertanian, perhutanan dan perikanan, pertukangan dan operator mesin. 

“Ia membuktikan bahawa graduan hari ini tidak mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelulusannya,” katanya.

Selain itu, katanya, laporan kajian ‘tracer study’ yang sedia ada sebelum ini perlu diperbaiki laporannya oleh semua institusi pendidikan tinggi (IPT)setiap kali konvokesyen. 

Kajian itu bertujuan mengetahui sama ada pelajar yang bergraduasi sudah bekerja atau sebaliknya iaitu dalam tempoh enam bulan ke setahun selepas tamat pengajian. 

“Jika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan IPT serius, perbaiki kaedah pengukuran iaitu dengan ambil kira pekerjaan setara dengan kelayakan atau ijazah sahaja bukannya pendekatan semasa iaitu asal bekerja sahaja. 

“Dan dari situ IPT boleh menilai bidang apa yang masih relevan untuk diwujudkan dan dimansuhkan pada masa mendatang,” sarannya.

Pada masa sama, beliau berkata, usaha peningkatan gaji minimum graduan juga memerlukan kerjasama industri yang menawarkan pekerjaan. 

“Industri atau syarikat-syarikat perlu jujur dengan mengikat MoU dan MoA bersama IPT dan membuat unjuran sebenar jumlah tenaga kerja diperlukan daripada IPT. 

“Kerajaan juga perlu mengangkat kembali martabat institusi pendidikan tinggi di negara ini. Graduan-graduan hari ini bukanlah liabiliti atau bebanan negara tetapi mereka adalah aset kepada kemajuan negara. 

“Tiada masalah sekiranya graduan-graduan ini dinaikkan gajinya setaraf dengan tahap pendidikan, kerana kebanyakan bidang yang diceburi akan membantu kepada perkembangan sektor industri tenaga mahir negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button